Lapan inovasi memerangi pencemaran plastik di serata dunia
Astro Awani
Mac 4, 2022 07:00 MYT
Mac 4, 2022 07:00 MYT
BULAN lepas, negara digemparkan dengan penemuan beberapa bangkai penyu yang mati dipercayai akibat termakan plastik yang hanyut di lautan.
Meskipun sudah berulang kali peringatan disuarakan, kempen juga giat dijalankan namun kesedaran masyarakat belum mencapai tahap memuaskan.
Hakikatnya, sisa plastik dan pencemaran kini mengancam kesihatan bukan saja haiwan seperti penyu malah manusia dan ekosistem di seluruh dunia.
Kajian mendapati, setiap tahun, 300 juta tan plastik dihasilkan, dijadikan barangan seperti cawan, pembungkus makanan, beg plastik dan banyak lagi.
Sedihnya, setiap tahun juga, lapan juta tan plastik itu akhirnya hanyut ke laut, tenggelam di lautan dan jika tiada tindakan, menjelang 2025, jumlah itu dijangka meningkat kepada 17 juta tan setahun.
Menyedari kesan buruknya pada masa depan, pada Jun lepas, Global Plastic Action Partnership dan UpLink melancarkan Global Plastic Innovation Network (GPIN).
Fokusnya, bekerjasama dengan pencipta inovasi yang mampu menghasilkan ciptaan yang untuk menangani masalah tersebut kerana pada mereka, menyelesaikan isu pencemaran plastik perlu disuntik elemen kreativiti.
Bertunjangkan kreativiti, lapan inovasi daripada lapan pencipta diangkat sebagai ciptaan yang diyakini mampu mengatasi masalah pencemaran plastik.
Berikut adalah pencipta dan inovasi tersebut:
1. Siklus
Siklus, ciptaan Indonesia sedang membina semula masa depan peruncitan di negara itu dengan menghantar isian semula atau ‘refill’ keperluan harian ke pintu orang ramai - tanpa mengunakan plastik.
Mereka menawarkan alternatif dengan menggantikan plastik bernilai rendah dengan stesen isian semula, membolehkan pengguna membeli produk isi rumah dalam sebarang kuantiti tanpa pembungkusan plastik.
2. gCycle
Memperkenalkan inovasi terbaharu, gDiapers, lampin itu merupakan lampin pakai buang kompos sepenuhnya, pertama dipatenkan di dunia.
Bukan itu sahaja, gCycle juga lengkap dengan perkhidmatan penghantaran dan pengumpulan malah ia bukan sahaja menghentikan pencemaran plastik bahkan membolehkan lampin dikumpul dan dikompos ke dalam tanah yang kaya dengan nutrien.
Objektifnya, lampin pergi kepada alam semula jadi, bukan ke tapak pelupusan sampah.
3. Plastic Fischer
Mereka membangunkan sistem pengumpulan plastik berteknologi rendah untuk sungai dengan mencipta TrashBoom, menggunakan produk itu di Sungai Citarum dan sungai Bali pada tahun 2019.
Plastic Fischer percaya pada penyelesaian yang dibina secara tempatan dan mencipta impak sosial dengan mewujudkan pekerjaan yang secara tidak langsung turut membrikan impak kepada alam sekitar.
4. Diwama
Mencipta “Vitron”, ia adalah perisian pengecaman imej berasaskan AI yang mengecam sampah dan barangan kitar semula.
Selepas dicam, maklumat itu akan dihantar untuk dianalisis dan data itu akan membantu proses kitar semula terutamanya dari segi meningkatkan kadar kitar semula kerana ia dilakukan dengan lebih cepat.
5. RiverRecycle
RiverRecycle bertujuan untuk menghentikan pencemaran plastik di lautan dengan melaksanakan pengumpulan sisa plastik dan kitar semula yang mampan dan mesra kewangan.
Matlamat projek itu adalah untuk menghentikan lebih 60 peratus pengumpulan plastik lautan melalui sungai dengan menubuhkan 500 pusat pembersihan sungai dan kitar semula plastik di tebing sungai paling tercemar di dunia.
Projek itu mengumpul, mengitar semula sisa plastik dan serpihan yang terapung di lautan selain menyediakan mata pencarian kepada masyarakat setempat.
6. Waste Bazaar
Hasil daripada kutipan barang kitar semula, semuanya akan ditukar kepada ‘point’ dan boleh dikumpul sebanyak mana yang anda mampu.
Kemudian, dengan ‘point’ yang anda ada, anda boleh memberi barangan keperluan dalam aplikasi Waste Bazaar, memanfaatkan teknologi dan dalam masa sama membantu penduduk.
7. Wasser 3.0
Mereka membangunkan penyelesaian yang cepat, cekap dan kos efektif untuk mengasingkan mikroplastik dan mikropolutan daripada pelbagai jenis air.
Hasil daripada kajian dan teknologi yang mereka gunakan, ia mampu untuk mewujudkan persekitaran yang menjimatkan air, tenaga, kos, mengurangkan pembaziran dan pada masa sama, meningkatkan kualiti air.
8. TONTOTON
Mereka sedang membina sistem di mana komuniti memainkan peranan penting dalam membersihkan persekitaran mereka sendiri sambil mencari rezeki melalui ‘sistem kredit plastik’ yang diperakui.
Mereka bekerjasama rapat dengan pemungut sisa domestik di Vietnam dan Kemboja untuk menangani pencemaran plastik di dua negara tersebut.