Langganan telco, ini enam perkara anda perlu tahu
Madiha Abdullah
Februari 26, 2019 07:25 MYT
Februari 26, 2019 07:25 MYT
HAMPIR semua daripada kita pernah berhadapan dengan situasi berurusan dengan syarikat telekomunikasi.
Di sini Astro AWANI kongsikan beberapa perkara yang anda perlu titik beratkan sebelum membuat langganan, bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.
Unbilled amount
Pelanggan mengetahui tentang termination charges, terutama sekali yang membabitkan penamatan servis awal ketika masih dalam kontrak. Namun antara rungutan yang sering didengari ialah tentang caj yang dikatakan tersembunyi.
Unbilled amount adalah jumlah yang tidak dibilkan tetapi akan dibilkan apabila kitaran bil matang pada tarikh tertentu. Ia boleh mengandungi caj untuk panggilan suara, SMS dan penggunaan data.
Ada syarikat telekomunikasi yang tidak menyenaraikan caj ini dalam bil mereka, membuatkan ramai pelanggan tidak faham mengapa mereka masih perlu membuat bayaran selepas menamatkan servis.
Liputan
Yang murah tidak semestinya value for money. Apa yang penting anda sebagai pelanggan puas hati dengan servis yang diberikannya.
Kerana itu penting untuk anda memilih telco yang boleh memberi servis liputan terbaik. Di mana lokasi anda, jenis rumah anda (landed atau bangunan tinggi) dan kepadatan penduduk di kawasan itu antara yang akan memberi kesan terhadap tahap liputan.
Langganan
Sewaktu anda membuat langganan, pastikan anda meneliti kandungan kontrak dan dokumen yang anda tandatangani. Beritahu dengan jelas, anda tidak mahu sebarang langganan atau kemas kini kerana ada antara perkara-perkara ini akan menyebabkan bil bulanan anda bertambah.
Caj-caj lain
Pernah dengar tentang paper bill? Jika anda memilih untuk mendapat bil yang dihantar ke rumah, ada kemungkinan anda akan dikenakan caj. Semak semua ini sebelum membuat keputusan.
Lokasi untuk penamatan servis
Mencari lokasi untuk menamatkan servis antara kesukaran yang sering dihadapi. Pendaftaran cukup mudah dilakukan, malah boleh dilakukan secara atas talian, tetapi apabila mahu menamatkan servis, pelanggan perlu hadir ke cawangan atau pusat servis tertentu. Mengapa?
Menurut keterangan di laman web sebuah syarikat telekomunikasi, menamatkan servis tidak semudah mendaftar kerana akaun telco anda mungkin mempunyai pautan (link) dengan mana-mana akaun lain seperti akaun perbankan atau akaun laman web jual beli. Justeru prosesnya lebih teliti kerana membabitkan isu keselamatan.
Ada baiknya jika anda terus ke pusat servis utama atau ibu pejabat syarikat telco yang terbabit untuk menamatkan servis. Ini akan mengelakkan anda daripada terpaksa pergi ke banyak tempat.
Notis penamatan servis
Ada beberapa syarikat telco yang meminta pelanggan memberi notis sebulan sebelum menamatkan servis. Justeru pelanggan perlu peka agar tidak mendatangkan kesukaran.