Lang Agro Park tawar pengalaman petik sendiri sayur, buah-buahan segar
Bernama
Februari 28, 2021 13:03 MYT
Februari 28, 2021 13:03 MYT
LANGKAWI: Membeli sayuran dan buah-buahan di pasar mungkin sudah biasa, namun alangkah seronoknya, jika pelanggan dapat terus memetik sayur seakan berada di kebun sendiri.
Itu kelainan yang ditawarkan di Lang Agro Park, sebuah ladang berkonsepkan agropelancongan di Ulu Melaka di sini, sejak setahun lepas.
Pengarah Urusan Lang Agro Sdn Bhd Naira Azlin Mat Nasim berkata ladang berkeluasan 2.4 hektar dibuka pada Januari 2020 itu kini semakin mendapat sambutan penduduk sekitar pulau ini untuk mendapatkan sayuran serta buah-buahan segar.
"Ladang integrasi ini dibahagikan mengikut plot seperti sayuran berbuah, sayuran berdaun, buah-buahan dan kolam ikan tilapia. Ada kira-kira 50 jenis sayuran dan buah-buahan di ladang ini antaranya terung, sawi kerinting, timun, jagung mutiara, kangkung, golden melon, markisa dan buah tin.
"Lang Agro Park yang pertama mempopularkan konsep datang dan petik sendiri sayuran dan buah-buahan di Langkawi. Kita dapati pelawat yang datang bersama ahli keluarga seronok dapat petik sendiri hasil di ladang ini, satu pengalaman yang mengujakan buat mereka," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Naira Azlin berkata sayuran dan buah-buahan di ladang tersebut boleh dituai mengikut jangka masa tertentu dan apabila hampir waktu untuk dituai, hebahan menerusi laman sosial Facebook akan dilakukan.
"Kangkung mengambil masa kira-kira dua minggu untuk dituai, selain itu bayam (dua minggu), sawi kerinting (empat minggu) dan terung (dua bulan). Apabila tiba waktu yang sesuai kita akan hebahkan kepada orang ramai.
"Sejak dibuka kepada orang ramai, sambutan diterima sangat menggalakkan, malahan kadangkala permintaan sangat tinggi," kata lepasan Program Inkubator Usahawan Belia Tani Jabatan Pertanian Malaysia itu.
Naira Azlin berkata selain jualan terus kepada pelanggan, pihaknya turut membekalkan sayuran dari ladang tersebut kepada pasar raya dan kedai runcit sekitar Langkawi.
"Bekalan sayuran di Langkawi kebanyakannya dibawa dari tanah besar dan sejak ladang ini dibuka kita sudah dapat tampung kira-kira 40 peratus permintaan pasaran di pulau ini," katanya. -- BERNAMA
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#lang agro park
#sayuran
#buah-buahan
#pertanian
#pelancongan
#Ulu Melaka
#pasar
#ladang sayur
#shm
#weekender