Landskap, sejarah dan menu lazat: Ini lapan tempat wajib dikunjungi di Ipoh
Saraya Mia
Januari 18, 2022 13:50 MYT
Januari 18, 2022 13:50 MYT
IPOH, Perak merupakan bandar raya penuh sejarah yang menawarkan aktiviti dan lokasi tumpuan pelancongan unik tersendiri.
Tatkala landskapnya megah dikelilingi bukit batu kapur dan bangunan seni bina kolonial, bandar lama ini juga kaya dengan makanan autentik yang disediakan penduduk tempatan yang peramah. Ternyata, Ipoh tidak akan mengecewakan pengunjung.
Pemanduan hanya dua jam dari ibu negara dan dua jam dari Pulau Pinang melalui lebuh raya Utara-Selatan, Ipoh semestinya menjadi destinasi hujung minggu pilihan pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Berikut disertakan lapan lokasi menarik yang anda wajib kunjung ketika berada di Ipoh.
1. Concubine Lane
Nama yang dipetik daripada perkataan Inggeris yang bermaksud 'lorong gundik', Concubine Lane atau Yee Lai Hong dipercayai pernah menjadi kawasan yang menempatkan rumah isteri tidak rasmi kepada usahawan kaya tempatan, Yao Tet Shin.
Kini, ia ditukar menjadi antara lorong tumpuan paling popular di ibu negeri Perak yang menarik para pengunjung kerana sejarah dan reka bentuk bangunan lama yang dibina sejak 1890-an.
Lorong Yee Lai Hong dan dua lagi lorong Concubine Lane, Hale Lane dan Market Lane yang terletak di bandar lama Ipoh menawarkan pelbagai pilihan makanan termasuk Concubine Lane Ipoh Tau Fu Fa, Restoran Wong Koh Khee, Ais Kepal dan Nam Chau White Coffee.
Lokasi ini juga sesuai untuk bergambar dan menambahkan koleksi foto di media sosial dengan membelakangkan mural pada dinding, hasil karya artis dari Lithuania, Ernest Zacharevic.
2. Little Ipoh Cafe
Kafe yang dibuka di dalam bangunan lama di Ipoh Belfield Street mempunyai kisahnya tersendiri. Ia pernah menjadi tempat kediaman pengintip Jepun sebelum jajahan Jepun di Malaya, di mana ia berselindung di sebalik kedai perniagaan gambar Mikasa Photo Studio dan kedai jahit baju, U.S. Peter.
Antara pilihan makanan di Little Ipoh Kafe termasuk kari ayam yang dihidang di dalam sia, roti titab telur goyang, nasi ayam dan pelbagai lagi dengan harga berbaloi, kesemua di bawah RM10.
Kafe ini diurus oleh anak muda dan adik-beradiknya yang membangunkan kafe dengan hasil titik peluh mereka, termasuk mural yang dilukis sendiri serta seni bina dalaman yang direka sendiri.
3. Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village
Taman yang terletak di tengah-tengah kuil bukit batu kapur, Sam Poh Tong dan Kek Long Tong di Gunung Rapat menawarkan pemandangan indah dan suasana tenang untuk pengalaman memukau.
Dibuka setiap hari bermula 9.30 pagi hingga 4.30 petang, taman ini menawarkan macam-macam tarikan untuk dilihat dan diterokai, terutamanya bagi penggemar sejarah. Malah, persekitarannya mampu membawa anda kembali ke zaman 1960-an.
Selain mendaki bukit menghala ke kampung yang dihiasi asimilasi perabot dan perumahan hampir tujuh dekad lalu, anda turut boleh pergi ke galeri koleksi vintage untuk melihat alat serta gajet zaman dahulu sambil memahami garis masa perubahan teknologi.
4. Tasik Cermin
Untuk ke lokasi tersembunyi ini, anda harus melalui terowong gua sepanjang 50 meter sebelum sampai ke tasik yang dikelilingi bentukan batu kapur dan gunung-ganang.
Untuk pengalaman terbaik, anda boleh menghayati pemandangan menakjubkan alam semula jadi sambil jalan di rakit yang menuju ke tasik yang air berkilat-kilat dipantul cahaya matahari.
Ia terletak di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Ipoh dan tidak jauh dari Qing Xin Ling.
5. Xscape Tambun
Terletak 20 minit dari bandar Ipoh, resort yang dibina di tapak gua batu kapur ini menawarkan pengalaman penginapan luar biasa di mana anda boleh menikmati suasana keindahan alam semula jadi sambil menginap di bilik yang moden.
Resort ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti flying fox, aktiviti masuk gua dengan harga serendah RM60, selain mempelajari biodiversiti reptilia dan serangga yang wujud di sekitar kawasan hutan sekeliling.
Bilik-bilik di resort ini dibina dengan atap terbuka untuk pengunjung menikmati pemandangan gua di luar tanpa meninggalkan keselesaan bilik. Terdapat juga fasiliti seperti jakuzi, beranda berhadapan bukit dan jeti yang menghala ke pintu masuk gua.
6. Taman Rimba Kledang Saiong
Taman eko-rimba di Persiaran Meru Utama menjadi tumpuan pilihan pelancong yang minat alam sekitar dan aktiviti luar seperti berkemah dan berkelah.
Terletak dalam Hutan Simpan Kledang Saiong yang berkeluasan 2,188 hektar, taman ini menawarkan fasiliti berkhemah berhampiran sungai, tempat barbeku, bilik persalinan, tandas, pondok wakaf, surau dan papan tanda informasi.
Terdapat juga Taman Nepanthes yang menempatkan 77 spesies periuk kera yang begitu penting bagi biodiversiti serta pemuliharaan dan pemeliharaan spesies flora dan fauna di hutan-hutan negara kita.
7. Karat Cafe
Dengan slogan "Old is Gold", Karat Cafe mengetengahkan konsep rumah dan makanan tempatan di dalam bangunan 1970-an yang masih kekal 90 peratus stuktur asal.
Sebelum rumah lot 135 di Jalan Sultan Abdul Jalil, Ipoh ini dikenali sebagai kafe hotspot dalam kalangan anak muda dan keluarga, bangunan tersebut pernah menjadi kuarters kerajaan sebelum ditukar kepada rumah anak yatim. Sejak 2014, usahawan muda Ezmal Elias menguruskan kafe itu yang dibangunkan bapanya.
Antara makanan popular di kafe ini termasuk asam pedas ikan siakap dan daging dendeng yang dimasak dan dihidang stail autentik, manakala bagi minuman kegemaran pula adalah matcha ais.
8. Gerbang Malam
Pasar Gerbang Malam dan Pasar Karat di Jalan Tahwil Azhar merupakan lokasi sesuai untuk pengumpul barangan antik serta mereka yang ingin membeli-belah secara jimat.
Suasana di pasar ini mula hidup pada waktu malam, ketika ramai penduduk tempatan dan pengunjung meluangkan masa lapang bersama keluarga dan teman-teman sambil mencuci mata.
Di sini, pengunjung boleh membeli oleh-oleh, pakaian termasuk beg dan kasut, gajet dan macam-macam lagi sebelum mengisi perut di pelbagai pilihan restoran dan kedai makanan tempatan berdekatan.
Haa, banyak ‘kan tempat yang menarik di Ipoh? Jom Cuti-Cuti Malaysia!.
*Artikel ini dibawakan oleh Tourism Malaysia