Laman web sedia perkhidmatan sunting gambar 'bekas kekasih'

Astro Awani
Mac 3, 2019 08:30 MYT
Edit My Ex membolehkan anda menyunting dan membuang imej si dia yang anda tidak mahu, dengan cara yang mudah. - editmyex.com
BAYANGKAN situasi ini. Anda melawat tempat bersejarah, atau mengambil gambar bersama individu tertentu yang penting dalam hidup anda.
Turut ada dalam gambar itu, pasangan anda.
Bagaimanapun, beberapa tahun kemudian, anda berdua sudah tidak bersama lagi.
Jadi bagaimana? Tentunya anda tidak sanggup membuang gambar itu bukan? Menyunting sendiri satu pilihan yang baik, tetapi bagaimana jika anda tidak mempunyai kemahiran itu?
Sebuah perkhidmatan atas talian kini disediakan, khusus untuk anda yang mahu menyimpan memori itu, tetapi tidak orang di dalam gambar tersebut.
Edit My Ex membolehkan anda menyunting dan membuang imej si dia yang anda tidak mahu, dengan cara yang mudah.
Idea untuk membina perkhidmatan dalam talian seumpama itu dicetuskan oleh Mark Rofe selepas berjaya menyunting imej bekas kekasih sahabat baiknya.
"Dia menangis kegembiraan apabila melihat foto itu, membuktikan kesannya cukup besar.
"Jadi saya mahu melakukan yang sama untuk orang lain juga," kata Rofe seperti yang dipetik dalam portal Oddity Central.
Edit My Ex mengenakan bayaran sebanyak £8.99 (RM48.38) untuk setiap keping foto yang disunting.
Menurut kenyataan di laman webnya, sesetengah foto mungkin terlalu rumit untuk disunting, yang akan menyebabkan bayarannya sedikit mahal.
#Edit My Ex #foto #Gambar #kenangan #Laman web #memori #sunting
;