Laman AirAsia bertukar wajah hitam putih hormati Raja Bhumibol
Madiha Abdullah
Oktober 16, 2016 17:45 MYT
Oktober 16, 2016 17:45 MYT
SELURUH dunia menangisi kemangkatan Raja Thailand Bhumibol Adulyadej pada Khamis.
Jika sebelum ini, perkhidmatan portal berita digital memberikan penghormatan dengan mengetengahkan warna hitam sebagai warna tema, kini tiba giliran syarikat penerbangan AirAsia pula.
Bukan sahaja logo di laman sosial, malah keseluruhan laman web syarikat korporat itu juga menggunakan warna hitam dan putih sebagai tanda berkabung.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, dalam kemaskini status di Facebook, berkongsi pendapat mengapa Bhumibol sangat disayangi rakyatnya.
"Baginda seorang raja yang merendah diri, yang mengutamakan rakyat, yang sederhana dan mengambil berat hal-hal negara.
"Rakyat Thailand sangat bertuah kerana pernah berada di bawah naungan raja sehebat baginda," tulis Tony.
Raja Bhumibol mangkat 13 Oktober lalu akibat pelbagai jenis penyakit dialami baginda sejak sedekad lalu.