Labu sayong miliki peminat tersendiri, proses pembuatan perlu terus diwarisi
Bernama
Julai 22, 2024 13:00 MYT
Julai 22, 2024 13:00 MYT
CYBERJAYA: Melihat ketekunan Mohd Pareb Zamari@ Zamri membentuk labu sayong memang mengasyikkan, namun cuba membuatnya sendiri pasti tidak mudah seperti yang dilihat.
Sambil jari-jemarinya 'sibuk bekerja', Mohd Pareb, 46, yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak berkata peredaran masa menyaksikan tanah liat sayong kini tidak lagi hanya dijadikan labu sayong, sebaliknya telah diinovasikan menjadi pelbagai produk lain seperti pasu hiasan, lampu meja atau penunu minyak.
"Labu sayong sebagai bekas penyimpan air masih tetap ada peminatnya. Ada yang mengatakan air yang disimpan di dalamnya lebih sejuk... disebabkan itu, saya juga menghasilkan pembahagi air menggunakan tanah liat sayong bagi memudahkan proses menuang air," katanya.
Mohd Pareb berkata demikian semasa ditemui di Reruai Negeri Perak pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini hari ini, yang menyaksikan beliau turut membuat demonstrasi pembuatan labu sayong kepada pengunjung yang rata-rata tertarik melihat proses itu secara langsung.
Beliau berkata sebuah labu sayong yang dihasilkan secara tradisional biasanya mengambil masa empat hari untuk disiapkan, bergantung kepada saiz dan cuaca kerana prosesnya agak renyah, bermula daripada proses mengambil tanah liat sayong.
Tanah liat sayong, menurut Mohd Pareb lebih tahan dan tidak merekah semasa proses membakar yang merupakan proses terakhir dalam pembuatan labu sayong bertujuan menguatkan tanah yang mengambil masa hingga lapan jam.
"Proses pembuatan bermula dari mengambil tanah liat sayong di tebing sungai, yang kemudiannya perlu dikeringkan, ditumbuk dan ditapis sebelum diuli dengan air untuk membolehkannya dibentuk. Nisbah air penting kerana ia tidak boleh terlalu cair atau terlalu kering.
"Pembentukan labu sayong bermula dengan tanah liat dicanai menjadi bentuk bulat dan diletakkan di pinggan di mesin yang berpusing dan dipicit sambil dinaikkan bagi membentuk badan, leher dan muncung disusuli proses seterusnya iaitu mengukir corak," katanya.
Bapa kepada tiga orang anak itu menambah kebiasaannya motif flora digunakan seperti bunga cengkih, pucuk rebung atau bunga tanjong, namun pada masa ini corak moden geometri juga banyak digunakan selain ada yang turut diwarnakan dengan pewarna khas untuk seramik.
Beliau berkata terdapat tujuh jenis labu sayong seperti Labu Gelugur, Labu Panai, Labu Tela dan Labu Lepap dan mereka yang membuatnya perlu memastikan jenis yang hendak dihasilkan sejak awal proses memicit bagi mendapatkan bentuk yang diingini selain proses 'mencetak' corak juga perlu dilakukan sebelum labu sayong kering.
Terlibat dengan pembuatan labu sayong sejak kecil, Mohd Pareb berkata produk itu telah membawanya menjelajah banyak negara termasuk Perancis, Jerman dan Singapura bagi mempromosikan kraf negeri Perak itu, selain turut berpeluang ke Jepun bagi menimba ilmu berkaitan seramik porselin selama setahun pada 2004.
"Saya lihat kraf tangan Malaysia khususnya labu sayong mendapat perhatian dan permintaan yang sangat meluas di luar negara termasuk daripada golongan orang muda. Sayang jika tradisi ini tidak diteruskan atau tiada pewarisnya kerana potensinya besar termasuk di luar negara," katanya.
-- BERNAMA