Label 'halal' sekadar muslihat? YouTuber Korea dedah kisah di Myeong-dong Street

Asyraf Roslan
November 25, 2019 12:47 MYT
Daud Kim menerusi akaun di laman sosialnya mendedahkan kerenah peniaga yang sebenarnya tidak faham erti status halal. - Facebook
DI MANA sahaja anda bercuti sudah pasti anda ingin berkunjung dan mencuba sesuatu yang istimewa di negara yang anda kunjungi.
Selain melawat tempat-tempat menarik, makanan juga antara yang akan menjadi tumpuan utama setiap pelancong.
Namun adakah anda yakin dengan makanan yang anda makan?
Seorang YouTuber Korea yang beragama Islam, Daud Kim, telah membuat satu video di Myeong-dong Street iaitu destinasi yang bukan sahaja popular untuk membeli-belah malah kawasan tersebut adalah tumpuan pelancong untuk mencuba makanan-makanan tempatan.
Begitupun, apa yang menjadi persoalan buat Daud adalah mengenai status halal makanan di situ kerana menurutnya, kawasan itu sering dipenuhi pelancong beragama Islam. Lebih mengejutkan, kebanyakan rakyat Korea tidak mengenali apa itu halal.
Menerusi video yang dimuat naik ke akaun Facebook dan saluran YouTube Daud Kim, dia dan seorang kawannya, Sena, telah melakukan satu eksperimen sosial dengan pergi ke setiap gerai dan bertanyakan kepada peniaga sama ada makanan tersebut halal atau tidak.
Ada beberapa kedai yang menampilkan logo halal namun sebenarnya peniaga tersebut tidak yakin dengan status halal tersebut sehinggakan mereka menutup tanda 'halal' selepas ditanya oleh Sena.
Terdapat juga beberapa peniaga yang turut memberi kerjasama dengan menyatakan status makanan yang mereka jual sama ada halal mahupun tidak.
Selain itu, Daud dan Sena turut menghubungi pengedar ayam yang membekalkan ayam kepada peniaga-peniaga di Myeong-dong Street. Tujuannya adalah untuk bertanyakan sama ada ayam yang dibekalkan itu mempunyai status halal.
Menerusi perbualan telefon itu, syarikat pengedar ayam itu memberitahu pihaknya tidak dapat mengesahkan jika semua ayam yang dibekalkan ke peniaga di lokasi pelancongan itu benar-benar berstatus halal.
Video tersebut telah mendapat pelbagai respons daripada penonton di laman Facebook.
Ada beberapa penonton yang berterima kasih dengan perkongsian yang dibuat oleh Daud Kim dan temannya.
Sementara itu, ada juga rakyat Malaysia yang berkongsi pengalaman mereka semasa berada di Myeong-dong street.
Jadi kepada anda yang pergi melancong, berhati-hati ketika memilih makanan anda. Kuasa memilih di tangan anda!
#Daud Kim #Halal #Islam #Korea Selatan #Myeong-dong Street #status halal #Tular #viral #YouTube
;