Kusut kasut lusuh? Hantar ke Firm Bundle, spa kasut

Bernama
Oktober 11, 2024 07:00 MYT
Muhammad Syameel bergambar di hadapan butik kasutnya di Taiping, Perak, ketika ditemu ramah baru-baru ini. -- fotoBERNAMA
TAIPING: Kesukaran mencari tempat yang menawarkan khidmat penjagaan kasut berjenamanya mencetuskan idea untuk Muhammad Syameel Ahmad Supian memulakan perniagaan itu sekitar tujuh tahun yang lalu.
Meskipun tidak mempunyai sebarang latihan kemahiran dalam bidang berkenaan, bekas akauntan itu nekad dengan keputusan itu dan perniagaan Firm Bundle, syarikatnya yang berasaskan perkhidmatan spa kasut semakin mendapat permintaan yang menggalakkan.
Menurut Syameel, 30, dia tidak pernah mengikuti mana-mana kursus berkaitan perkhidmatan tersebut sebaliknya hanya mempelajari teknik cucian, penampalan tapak kasut serta warna semula melalui platform media sosial.
"Sekitar 2017, memang tiada kedai yang tawarkan perkhidmatan ini di Taiping. Perkara ini agak merunsingkan saya kerana puluhan kasut yang saya kumpul selama ini perlu dicuci untuk memastikan semua kasut sentiasa bersih dan berada dalam keadaan baik.
"Dari situ timbul idea untuk mempelajari teknik cucian, tampal (tapak kasut) dan warna semula, daripada platform Youtube. Alhamdulillah, saya tak ambil masa yang lama untuk memahirkan diri dan seterusnya buka perniagaan spa kasut ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.
Anak jati kelahiran Selama itu berkata, perniagaan yang diusahakannya itu turut disertai dua rakannya iaitu Nasrul Aman Azmi, 29 dan Muhammad Alif Idham Abdull Rashid, 23. Kedua-duanya bukan sahaja bertindak sebagai pembantu tetapi juga 'tulang belakang' dalam memudahkan urusan pelanggan.
"Kedua-duanya adalah rakan sekerja lama dan mereka juga yang banyak bantu saya selama ini untuk uruskan hal berkaitan cucian, warna semula dan tampal tapak kasut sepertimana dimahukan para pelanggan," katanya.
Menuru Syameel, kebiasaannya lebih 150 hingga 200 pasang kasut dihantar oleh pelanggan dalam tempoh sebulan untuk proses cucian, warna semula dan penampalan tapak kasut.
Antara jenis kasut dihantar ke butiknya terdiri daripada jenis formal, kasual dan untuk aktiviti sukan.
"Daripada sudut harga, kita tawarkan bermula dengan harga RM15 untuk proses cucian biasa (sepasang), RM65 proses warna semula (sepasang) dan RM80 bagi proses penampalan tapak kasut (sepasang).
"Harga yang ditetapkan itu juga sama, tak mengira sama ada kasut yang dihantar itu dari jenis kanvas, kulit, satin, atau denim," katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan seperti cucian serta warna semula turut ditawarkan untuk aksesori lain seperti topi, beg, tali pinggang dan dompet.
"Untuk aksesori ini, harga kebiasaan yang diletakkan adalah RM80 namun ia lebih kepada topi dan beg. Aksesori lain seperti tali pinggang serta dompet pula, harganya bergantung kepada jenis perkhidmatan serta saiznya," katanya.
Selain menawarkan perkhidmatan spa kasut, Firm Bundle turut menjual barangan seperti kasut, baju, seluar trek, seluar pendek, bag serta aksesori lain dari pelbagai jenama antarabangsa seperti Stone Island, Fred Perry, Cp Company, Lyle n Scott, Adidas, Pretty Green, Weekend Offender dan Napapijri.
Menurut Syameel, semua barangan itu dijual secara atas talian serta terus kepada para pelanggan dari seluruh negara termasuk dari luar seperti Singapura dan Brunei.
"Kalau nak diikutkan, kebanyakan barangan ini saya jual melalui tempahan yang dibuat para pelanggan di Facebook dan Instagram Firm Bundle.
"Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan lebih-lebih lagi apabila tiba musim perayaan. Kadang-kadang tak menang tangan menguruskan tempahan daripada para pelanggan," katanya yang memberitahu operasi perniagaannya dibuka dari pukul 9 pagi hingga 9.00 malam, setiap hari.
Ditanya tentang impiannya terhadap perniagaannya, Syameel berharap dapat mengembangkannya dalam skala yang lebih besar selain sokongan daripada mana-mana agensi berkaitan amat diperlukan untuk merealisasikan hasrat itu.
"Dari tahun 2017 hingga kini, saya hanya mengeluarkan perbelanjaan sendiri tanpa sebarang bantuan daripada mana-mana pihak atau agensi yang berkaitan.
"Jadi, untuk mengembangkan lagi perniagaan ini, saya fikir kalau ada yang sudi membantu, saya amat berbesar hati untuk menerimanya. Dengan bantuan daripada sudut kewangan misalnya, saya yakin perniagaan ini mampu pergi lebih jauh," katanya.
-- BERNAMA
#kasut lusuh #spa kasut #Muhammad Syameel Ahmad Supian #perniagaan bundle
;