Kuih Cuan, Sarang Semut hidangan pelengkap Hari Gawai
Lynch Cowan
Mei 30, 2020 14:39 MYT
Mei 30, 2020 14:39 MYT
Tidak lengkap sesuatu perayaan tanpa hidangan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.
Bagi masyarakat Dayak di Rumah Panjang Henry Nguling Kanowit, Kuih Cuan dan Kuih Sarang Semut antara hidangan wajib untuk dijamu kepada tetamu serta sanak saudara yang datang 'ngabang' atau berkunjung.
Meskipun perayaan Gawai kali ini disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kedua-dua kuih tradisi ini tidak dilupakan.
Bagi penjual kuih tradisi, Patricia Suntak, ramuan kuih itu cukup mudah; dengan hanya menggunakan tepung beras, gula, gula apong selain digoreng menggunakan teknik goyang cuan.
"Masa perayaan setiap pintu rumah panjang wajib membuat atau menyediakan kedua-dua kuih ini. Bagi saya juga semasa perayaan Gawai ini banyak tempahan diterima. Ia adalah kuih wajib sepanjang perayaan Gawai," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Bagi penduduk Rumah Panjang Henry Nguling pula, Janet Peter walaupun ada kuih moden menghiasi hidangan di atas meja, kuih tradisi seperti Kuih Cuan dan Sarang Semut tetap menjadi pilihan utama.
"Saya tak sempat hendak buat kuih-muih macam ni jadi beli sahaja untuk sambutan Hari Gawai. Sambutan Gawai tahun ini hanya disambut sederhana ekoran PKPB," katanya.
#HAPUSCOVID19
#Hari Gawai
#Kanowit
#Kuih Cuan
#Kuih Sarang Semut
#kuih tradisi
#Masyarakat Dayak
#ngabang
#PKP
#PKPB
#Rumah Panjang Henry Nguling
#tradisi