'Kugha-Kugha Kelatea' luahan hati pelukis di Muzium Negeri Kelantan
Bernama
Mac 30, 2016 07:50 MYT
Mac 30, 2016 07:50 MYT
Setiap lakaran yang dihasilkan membawa luahan hati dan penyataan emosi pelukis terhadap persekitaran dan sosiologi di Kelantan.
Itu yang dinyatakan oleh pelukis Adzran Omar, 55, yang menyertai pameran 'Kugha-Kugha Kelatea' atau 'Kelantan in Sketches', yang sedang berlangsung di Muzium Negeri Kelantan di sini dari 16 Mac hingga 16 April ini.
Adzran berkata lakaran yang dibawa itu bukan sekadar lakaran malah ia adalah kritikan sosial kepada masyarakat dengan perubahan kemodenan yang berlaku sehingga mengubah landskap di Kelantan yang sepatutnya dipulihara untuk tatapan generasi anak Kelantan.
"Banyak bangunan bersejarah yang mempunyai sentimental value dan rumah-rumah tradisional di pinggir bandar yang semakin hari semakin hilang dek pembangunan," katanya kepada Bernama di sini.
Lakarasa peribadi
Adzran, guru Pendidikan Seni Visual di Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab 2 di sini, memilih keunikan infrastruktur dan sosiobudaya sebagai satu daripada tumpuan dalam setiap lakaran yang dihasilkannya.
Beliau berkata 'Kugha-Kugha Kelatea' atau 'Kelantan in Sketches' adalah lakarasa peribadinya terhadap suasana di Kelantan di mana beliau berpendapat setiap lukisan yang dibawa olehnya mempunyai persepsi dan idea yang tersendiri.
"Saya mengguna pendekatan bersahaja melalui 'loose stroke', 'simplicity' atau konsep 'less is more', dan media (alat) yang saya gunakan untuk pameran kali ini ialah daripada dakwat, arang dan cat air," katanya.
Adzran, lulusan Seni Halus dari Institut Teknologi Mara (ITM) yang kini dikenali Universiti Teknologi Mara (UiTM), ketika menjelaskan konsep yang dibawa pada pameran 'Kugha-Kugha Kelatea'.
Sebanyak 76 lukisan dipamerkan pada pameran 'Kugha-Kugha Kelatea' di mana ia adalah lukisan Adzran dari 2013 hingga 2016.
Aktiviti lain pada pameran kali ini ialah Bengkel Kugha-Kugha, yang terbuka kepada semua pelajar secara percuma pada 28 Mac.
Sempena Tahun Melawat Kelantan
Sementara itu, Penolong Kurator Muzium Negeri Kelantan, Nik Mohd Izwan Nik Anwar berkata pameran solo pertama pelukis tersebut adalah bersempena Tahun Melawat Kelantan tahun ini bagi menarik lebih ramai pelancong.
Beliau berkata Muzium Negeri Kelantan merancang pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini antaranya yang turut berlangsung sekarang ialah Pameran Senjata Cantik dan Batu Permata di Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan bermula 12 Mac sehingga 12 April.
Nik Mohd Izwan berkata antara agenda yang bakal menyusul ialah Pertandingan Lukisan dan Fotografi, Pertandingan Khat Antarabangsa, Pameran Sengat dan Bisa serta Pameran Pendidikan Perdana Siri Dua selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember ini.
"Pada tahun lepas, Muzium Negeri Kelantan berjaya menarik 150,000 pelawat mengunjungi Pameran Pendidikan Perdana Siri Satu dengan bertemakan Firaun, Sultan Muhammad Al-Fateh dan Tok Janggut, jadi saya berharap tahun ini juga mendapat sambutan yang baik," katanya.