Kucing masih bernyawa selepas 12 minit 'dibilas' dalam mesin basuh
Agensi
Julai 6, 2020 15:00 MYT
Julai 6, 2020 15:00 MYT
Seekor kucing Burma bernama Oscar mungkin hanya mencari tempat yang selesa untuk tidur dan tidak menyangka akan 'dibilas' dalam mesin basuh pemiliknya selama 12 minit.
Dalam kejadian yang berlaku pada Jun lalu, pemilik Oscar, Amanda Meredith dari Queensland, Australia, terdengar suara si comel itu mengiau selepas suaminya, Angelo, memasukkan cadar ke dalam mesin basuh.
Dia tidak menghiraukan bunyi tersebut kerana menyangka kucing peliharaannya itu sedang bermain dalam almari.
Meredith kemudiannya keluar untuk mengeringkan basuhan di ampaian dan apabila kembali, kira-kira 12 minit kemudian, Oscar masih belum berhenti mengiau.
Ketika itulah dia menyedari kucingnya yang berusia dua tahun itu berada dalam mesin basuh.
"Saya dapat lihat kakinya di kaca mesin basuh itu, dia memandang saya sambil 'diputar' dalam mesin itu," katanya.
"Ia sangat menyayat hati," kata Meredith kepada portal ABC.
Walaupun 'dibilas' dengan air panas dan terkena bilah-bilah tajam dalam mesin berkenaan, Oscar masih hidup ketika berjaya dibawa keluar.
Meredith membawa Oscar ke klinik haiwan untuk diberi rawatan, di mana ia terpaksa berada di sana selama 24 jam sebelum dibenarkan pulang.
"Untuk tujuh hari berikutnya, Oscar tidak aktif seperti biasa dan hanya tidur," cerita Meredith.
Dia juga menasihatkan orang ramai terutama pemilik haiwan peliharaan untuk memeriksa mesin basuh mereka sebelum menghidupkannya.
"Ia masih suka duduk di hadapan mesin basuh dan memerhatikannya berpusing," kata Meredith.