Kucing lebih puas hati diberi makan sekali, dalam jumlah besar - Kajian

Agensi
Oktober 3, 2020 18:29 MYT
Kucing secara amnya akan lebih berpuas hati jika diberi makan sekali sehari, tetapi dalam jumlah yang besar.
JIKA anda pemilik kucing anda tentunya faham dengan perangai si comel yang gemar 'bertenggek' di tepi bekas makanan, mempamerkan wajah sedih seolah-olah sedang kelaparan, walaupun hakikatnya baru diberi makan sejam sebelum itu.
Anda pula akan merasa kasihan dan segera mengisikan bekas itu dengan makanan dan daripada situ, bermulalah diet tidak sihat apabila kucing terlalu kerap diberi makan.
Kepada anda yang memiliki haiwan peliharaan itu, artikel ini barangkali boleh menjadi penyelesaian.
Satu kajian mendapati bahawa kucing secara amnya akan lebih berpuas hati jika diberi makan sekali sehari, tetapi dalam jumlah yang besar.
Makan sekali sehari merupakan cara kucing liar makan, sebelum menemui makanan yang seterusnya.
Cara ini juga membantu pemilik kucing mengurangkan risiko obesiti yang bukan sahaja berpotensi memendekkan jangka hayat kucing tetapi juga menjadi penyebab haiwan itu lebih mudah dijangkiti penyakit.
"Hasil kajian ini mungkin mengejutkan komuniti veterinar dan banyak pemilik kucing yang sering diberitahu haiwan peliharaan mereka memerlukan beberapa hidangan makanan dalam jumlah kecil setiap hari," kata salah seorang penyelidik, Prof. Adronie Verbrugghe.
"Pendekatan ini sebenarnya cara efektif bagi doktor haiwan dan pemilik kucing untuk menguruskan berat kucing dan memberi penjagaan terbaik supaya kucing-kucing ini hidup sihat dan bahagia," katanya lagi.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#kucing #diet #makanan #Adronie Verbrugghe #haiwan peliharaan #santai hujung minggu
;