Kucing 'hero' gagalkan cubaan merompak

Agensi
Ogos 5, 2022 11:30 MYT
Everitt bersama kucing peliharaannya Bandit. -AP
MISSISSIPPI: SIAPA kata kucing tidak boleh berperanan untuk menjaga keselamatan?
Seorang lelaki di Mississippi, Amerika Syarikat (AS) mengangkat kucing peliharaannya sebagai wira apabila membantu menghalang rumah dirompak, malah mungkin juga telah menyelamatkan nyawanya.
Bandit, seekor kucing seberat 9.1 kilogram, tinggal bersama pemiliknya, Fred Everitt di pinggir bandar Tupelo di Belden.
Semasa dua lelaki cuba menceroboh rumah mereka minggu lalu, si comel itu melakukan segala yang termampu untuk memaklumkan Everitt tentang bahaya yang menanti.
"Anda mendengar tentang anjing pengawal, tetapi kali ini kucing pengawal pula," katanya kepada Northeast Mississippi Daily Journal.
Cubaan rompakan berlaku di antara jam 2.30 pagi dan 3 pagi pada 25 Julai, kata Everitt.
Dia pada mulanya dikejutkan oleh bunyi Bandit mengiau di dapur.
Kucing Calico itu kemudiannya berlari masuk ke dalam bilik tidur, melompat ke atas katil sebelum menarik selimut dan mencakar lengannya.
Ketika itu, Everitt tahu ada sesuatu yang tidak kena kerana ia bukan sikap kebiasaan Bandit, yang diambil sebagai peliharaan dari pusat perlindungan empat tahun lalu.
Everitt bangun untuk menyiasat dan melihat dua lelaki berada di luar pintu belakangnya. Seorang mempunyai pistol, dan seorang lagi sedang cuba membuka pintu.
Pesara berusia 68 tahun itu kemudian ke dapur untuk mengambil pistolnya, namun apabila dia kembali, penceroboh telah melarikan diri.
Everitt memaklumkan dia tidak menghubungi polis untuk membuat laporan tentang kejadian itu.
"Keadaan mungkin menjadi buruk jika Bandit tidak mengejutkan saya dari tidur," kata Everitt.
#Bandit #Fred Everitt #kucing halang rompakan #Tupelo
;