Kuasai lebih daripada satu bahasa buka lebih banyak peluang - Maya Karin
Asyraf Roslan
Oktober 5, 2019 18:57 MYT
Oktober 5, 2019 18:57 MYT
Tanpa mengetepikan kepentingan bahasa kebangsaan, pelakon dan aktivis Maya Karin mengajak orang ramai menambah kemahiran komunikasi melalui penguasaan lebih daripada satu bahasa.
Selebriti yang juga terkenal dengan seruan menyayangi alam sekitar itu menyeru kepada rakyat Malaysia supaya meluaskan pengetahuan lebih daripada bahasa ibunda kerana ia berpotensi membuka peluang yang lebih besar untuk kelestarian seseorang individu.
“Agak janggal apabila ada orang Melayu yang hanya bertutur Bahasa Malaysia, orang Melayu yang hanya bercakap Bahasa Inggeris, atau orang Cina atau India yang cuma bercakap dalam Bahasa Inggeris.
“Kita semua sepatutnya boleh bertutur dalam Bahasa Kebangsaan.
"Kalau kita boleh bercakap pelbagai bahasa, sudah tentu peluang yang ada untuk kita lebih besar," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
Beliau dihubungi susulan hantaran Tweetnya dalam sebuah acara beberapa hari lalu yang menjadi tumpuan netizen, sekali gus menerima maklum balas yang bercampur.
Jelas Maya, untuk lebih maju, seseorang itu harus menguasai pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris memandangkan ia merupakan bahasa global kini.
"Untuk kita lebih maju, Bahasa Inggeris sangat penting untuk kita berkomunikasi secara antarabangsa.
"Tiada kena mengena dengan (mengagungkan) bahasa kolonial dan bukan berat sebelah dengan bahasa Barat, cuma hakikatnya kini Bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa yang digunakan sekarang," katanya.
Pandangan Maya itu turut dipersetujui oleh penganalisis politik, Karim Raslan, yang juga merasakan seseorang itu mempunyai kelebihan jika mampu menguasai lebih banyak bahasa, seterusnya membuka lebih banyak peluang dari segi kerja, gaji dan juga pengetahuan.
Maya juga turut menyentuh mengenai mereka yang malu untuk bertutur bahasa lain, baginya tidak salah mencuba asalkan apa yang kita sampaikan dapat difahami oleh orang sekeliling.
Selain itu, Maya juga memohon kepada pengguna media sosial supaya melihat konteks sebenar yang disampaikan seseorang sebelum mengulas mengenainya.
Pada 3 Oktober lalu, Maya telah dijemput untuk bercakap mengenai budaya membaca di perpustakaan Universti Malaysia Terengganu (UMT).
Acara itu turut dihadiri kru AWANI Jr dari negeri itu.