Kreatif dan indah! Mural tangga di Sandakan ini menguji kemahiran pelukisnya
Ridzal Abdullah
Jun 26, 2021 10:47 MYT
Jun 26, 2021 10:47 MYT
SEORANG pelukis komersial di Sandakan memanfaatkan masa yang terluang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada masa ini dengan melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat untuk mencantikkan bandar itu.
Muhammad Amin Muhidin, 46 tahun, yang berpengalaman dalam bidang lukisan batik selama 26 tahun sedang dalam proses akhir untuk menyiapkan mural lukisan tangga menuju ke Wisma Perbandaran di bandar Sandakan.
Reka bentuk mural lukisan tangga yang dihasilkannya adalah berkonsepkan Sabah merangkumi kepelbagaian etnik dan alam semulajadi yang ada di negeri itu.
Beliau yang dibantu seorang lagi pelukis iaitu Herman Stephan mengambil masa selama lebih tiga minggu untuk menyiapkan mural berkenaan dari satu anak tangga ke satu anak tangga.
Menurutnya, mereka mendapat sokongan untuk menjalankan aktiviti berkenaan daripada pihak pelancongan yang telah menyumbangkan dana melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Difahamkan bahawa pihak berwajib mahu tangga menuju ke Wisma Perbandaran yang menempatkan pelbagai informasi pelancongan berkaitan dengan Jejak Warisan Sandakan diperindahkan lagi kerana ianya salah satu tarikan kepada para pelancong.
"Sepanjang musim PKP ini, pendapatan pun terjejas. Jadi bila ada peluang untuk membuat mural tangga ni saya manfaatkan untuk menambah pendapatan dan mencari kepuasan dalam berkarya.
"Selama ni pun saya tidak pernah membuat sebarang karya mural ataupun (lukisan) di tangga, maka saya manfaatkan mural ni untuk menguji saya punya skil," ujar Muhammad Amin.
PKP 3.0 | Pelukis asah kemahiran menerusi mural tangga
Beliau ditemui Astro AWANI di pusat bandar Sandakan semasa menyiapkan mural lukisan tangga berkenaan untuk proses akhir itu.
"Cabaran dia salah satunya adalah cuaca yang tidak menentu dan cabaran yang lagi satu untuk mencantum subjek-subjek yang ada dalam design tu sebab tangga ni memerlukan ukuran yang tepat untuk mencantumkan satu lukisan... tidak seperti lukisan dinding kita boleh nampak dia hasil sekali buat. Cantuman tu yang paling mencabar bagi saya," ujarnya.
Amin yang mempunyai anak tiga orang dan menetap di Sri Taman memberitahu bahawa Sandakan juga banyak tempat yang boleh dihiasi dengan lukisan untuk tumpuan umum sekali gus menarik kedatangan pelancong ke bandar itu pada masa akan datang.
Harapannya kepada pihak NGO agar sudi kiranya memberi sumbangan kepada pelukis yang ada di Sandakan bagi tujuan mencantikkan persekitaran bandar dengan lanskap menarik.
Bagi, Herman Stephan, 43 tahun, yang berpengalaman dalam seni lukisan kraftangan selama empat tahun, cat yang digunakan adalah cat minyak untuk melukis anak tangga menuju ke MPS dengan pelbagai konsep yang bercorakkan 'Sabahan' itu.
"Sebagai pembantu Amin ni, saya followlah mana-mana design dia buat... kena follow lakaran. Dia lebih kepada lakaran, tinggal saya ikut saja warna mana-mana yang patut.
"Dia punya cabaran tu, itu sajalah, tangga... jadi turun naik turun naik memang penat mencangkung," kata Herman yang sepat berseloroh tentang saiz badannya.
Namun baginya, kalau sudah beberapa hari bekerja sebegitu, dirinya sudah membiasakan diri.
"Memang satu kira puas hatilah... memang satu kepuasan sebab sebelum ni pun saya memang melukis juga tapi melukis dalam skop-skop yang kecil. Mural ni memang jarang saya buat, tapi ini satu peluang buat satu lukisan mural yang besar," ujarnya.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#pelancongan
#Sandakan
#lukisan mural
#Sabah
#weekender
#Muhammad Amin Muhidin
#Herman Stephen
#bakat
#anak muda