Kostum 'Kampungku' taruhan Malaysia di pentas Miss Universe

Nickyson Nyambar
April 27, 2021 16:35 MYT
Francisca bakal membuat kejutan dengan membawa 'sekampung' ke pentas ratu cantik Miss Universe di Amerika Syarikat. - Instagram @missuniversemalaysia
KUALA LUMPUR : Berbaki masa kurang tiga minggu sebelum pertandingan akhir Miss Universe ke-69 yang akan dilangsungkan di Seminole Hard Rock Hotel Hollywood, Florida di Amerika Syarikat, perkara yang paling dinanti oleh peminat pertandingan ratu cantik itu pastinya persiapan wakil negara mereka.
Buat Francisca Luhong James yang bakal mewakili Malaysia ke pentas berprestij itu, persiapan semestinya sudah diteliti sejak dia bergelar juara Miss Universe Malaysia 2020 pada September tahun lalu.
Jika sebelum ini, Miss Universe Malaysia 2019, Shweta Sekhon menggayakan kostum bertema 'A Peranakan Indulgence' yang diinspirasikan daripada elemen Baba dan Nyonya, kali ini Francisca bakal mempersembahkan tema unik iaitu representasi suasana kampung yang ada di negara ini.
Kostum kebangsaan itu adalah merupakan cetusan idea pereka tempatan, Carven Ong dengan kerjasama Wesley Hilton of Borneo Doll dan mengangkat elemen dari empat budaya berbeza iaitu masyarakat Orang Asli, Melayu, Dayak dan Orang Ulu.
"Kostum ini menggambarkan elemen sebenar yang terdapat pada kampung di Malaysia dan menimbulkan perasaan nostalgia apabila melihatnya.
“Lebih istimewa, ia dibina tanpa menggunakan sebarang paku," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Jelas Carven lagi, kostum seberat 45 kilogram ini disiapkan dalam tempoh tiga bulan bagi memastikan Francisca dapat melakukan latihan serta mempersembahkannya dengan lancar pada acara itu kelak.
Antara elemen yang terdapat pada kostum kebangsaan berkenaan, ayam serama, songket, batik serta tikar mengkuang yang dianyam seperti bentuk bunga raya.
Lebih mengujakan, terdapat elemen pertukaran ketika Francisca mempersembahkan kostum itu.
Menerusi satu majlis yang diadakan di ibu kota pada Selasa, pihak pengurusan organisasi Miss Universe Malaysia (MUMO) turut mendedahkan gaun malam yang akan digunakan oleh Francisca pada pertandingan akhir tersebut.
Menurut pengarah kebangsaan organisasi ratu cantik tersebut, Datin Elaine Daly, kali ini pihaknya berkolaborasi dengan pereka Rizman Ruzaini bagi menghasilkan gaun malam yang diinspirasikan oleh lagenda Puteri Sejinjang.
"Ini bukan kali pertama Rizman Ruzaini bekerjasama dengan pihak kita. Saya berharap untuk Francisca sendiri, dengan segala persiapan yang dilakukan dia dapat melakukan yang terbaik untuk negara," kongsinya.
Bukan itu sahaja, kata beliau, secara tradisinya wakil Malaysia akan dipersiapkan dengan satu lagi persalinan gaun malam rahsia.
Buat pereka Rizman Ruzaini, adalah penting untuk menonjolkan elemen peribadi seperti personaliti dalam rekaannya itu bagi menyerlahkan lagi keyakinan serta keberanian pemakai.
"Konsepnya berkaitan Puteri Sejinjang, menggambarkan kecantikan alam, flora dan fauna. Warna gaun malam ini pula representasi kepada laut dalam lagenda Puteri Sejinjang di Sarawak yang juga merupakan tempat kelahiran Francisca," ujarnya dalam majlis sama.
Manakala, bagi Francisca sendiri, dia berbangga kerana dapat mewakili negara dalam pertandingan berprestij itu.
Katanya, ini adalah peluang sekali seumur hidup buatnya untuk mempamerkan keistimewaan Malaysia terutamanya budaya etnik minoriti di negara ini.
"Ini kali pertama Malaysia diwakili oleh seorang Bumiputera Sarawak iaitu saya sendiri. Jadi saya berharap saya dapat melakar sejarah untuk negara kita," katanya.
Francisca turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyokongnya sepanjang pertandingan itu berlangsung.
Pertandingan Miss Universe kali ini menampilkan sistem undian bagi melayakkan seorang peserta dipilih ke Top 21 (tangga 21 teratas).
Undian boleh dilakukan menerusi Aplikasi Miss Universe di Google Play dan Apps Store untuk memilih peserta kegemaran masuk ke jajaran semi final.
Tahun lalu Zozibini Tunzi dari Afrika Selatan dinobat sebagai Miss Universe 2019 menyaksikan negara itu merangkul kejuaraan kedua sejak Miss Universe Organization diambil alih oleh WWE/IMG Talent Agency.
#Miss Universe #Miss Universe Malaysia #Francisca Luhong James #kostum nasional #Kampungku #Carven Ong #fesyen #ratu cantik #Malaysia #Rizman Ruzaini
;