'Kopi Teduh' ilham dari TikTok, setanding jenama terkenal

Bernama
Februari 8, 2022 13:31 MYT
Trend perniagaan kopi jalanan masih kurang popular di Kelantan, sekali gus kewujudan Kopi Teduh dapat memberi inspirasi kepada anak muda di negeri itu. - Bernama
KOTA BHARU: Walaupun hanya berbumbungkan langit dan di bawah teduhan sebatang pokok, gerai Kopi Teduh di sini menyajikan kopi yang mempunyai aroma dan rasa yang setanding dengan jenama terkenal.
Pemilik gerai Siti Nurashakila Zakari, 24, berkata ilham untuk mengusahakan 'kopi tepi jalan' itu timbul apabila beliau sering menonton video mengenai perniagaan seumpama itu di media sosial, khususnya aplikasi TikTok.
Katanya, kebanyakan video tersebut dimuat naik netizen dari Indonesia dan Thailand yang menunjukkan masyarakat di sana berniaga kopi yang hanya dibru di atas motosikal.
Menyifatkan perniagaan itu ringkas dan mudah, beliau bersama rakan karibnya Intan Zulsyawani Zulkifli, 24, tekad mengaplikasikan perniagaan berkonsep sama di sini, sejak akhir tahun lepas.
"Ia juga tidak memerlukan modal yang besar dan kafe (premis), iaitu kami memulakan dengan modal sekitar RM5,000 sahaja," katanya ketika ditemui Bernama di gerai mereka di Taman Maju di sini.
Beliau berkata trend perniagaan kopi jalanan itu juga masih kurang popular di Kelantan, sekali gus dapat memberi inspirasi kepada anak muda di negeri ini, bahawa mereka juga dapat berniaga walaupun tidak mempunyai modal besar.
Bercerita lanjut, mahasiswa tahun akhir Kejuruteraan Elektronik Universiti Multimedia itu berkata YouTube menjadi 'guru' yang mengajar pelbagai resipi sehingga beliau dan Intan Zulsyawani berjaya menghasilkan lebih 17 jenis minuman berasaskan kopi dan bukan kopi.
Katanya, bagi mencipta kelainan, mereka memilih kaedah tradisional untuk mengekalkan aroma wangi kopi iaitu dengan menggunakan alat pembru biji kopi Moka Pot.
Malah, katanya, tidak ramai yang mampu menggunakan alat itu kerana cara penggunaannya yang agak rumit, namun berbaloi kerana dapat mengekalkan rasa 'not' kopi yang memikat hati penggemar minuman itu.
Menurut Siti Nurashakila, mereka menggunakan biji kopi berkualiti tinggi iaitu jenis Arabica dari Brazil yang diperoleh daripada pembekal tempatan.
Katanya, antara yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah minuman Mesir Kuno Latte yang mengetengahkan rasa kayu manis, selain Nissey Kerek Latte yang menggunakan manisan nira kelapa.
Siti Nurashakila berkata antara cabaran yang dihadapi bersama Intan Zulsyawani, yang juga pelajar tahun kedua Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, adalah pada hari hujan iaitu mereka terpaksa memakai baju hujan, selain kurang jualan.
"Walaupun berdepan cabaran terutama ketika musim hujan mahupun ketika ribut, sehingga ada membuatkan khemah kami tercabut, namun ia tidak mematahkan semangat saya dan Intan Zulsyawani untuk meneruskan perniagaan dengan berkonsepkan teduhan secara semula jadi ini," katanya yang meraih hasil jualan hampir RM1,000 sehari.
Beliau juga bersyukur kerana dengan adanya pelbagai medium media sosial, mereka dapat mempromosikan Kopi Teduh secara lebih meluas, antaranya menerusi laman Instagram yang kini mempunyai hampir 6,000 pengikut.
Sementara itu, seorang pelanggan tetap, Ahmad Faris Ruslan, 26, dari Pasir Mas berkata, kopi dari gerai itu menjadi pilihannya sejak dua bulan lalu kerana harganya yang murah, iaitu RM4 hingga RM8 secawan, tetapi mempunyai keenakan yang setanding dengan kopi dari jenama terkenal, selain suasana gerai yang sesuai untuk bersantai bersama rakan-rakan.
-- BERNAMA
#kopi teduh #bisnes #Kelantan #Belia
;