'Konsepnya sentiasa mesra rakyat' - PAPU perkenal karya seni tempatan dan serantau

Gempak
Mac 19, 2022 09:45 MYT
Menurut Nemo, objektif PAPU adalah untuk menjual pop art mampu milik kepada generasi muda yang sememangnya menaruh minat terhadap seni. -Gempak
KARYA seni mampu milik? Itu kelebihan Pop Art Pop Up (PAPU) yang terletak Publika apabila memperkenalkan karya seni daripada artis tempatan dan serantau.
Menurut pemiliknya, Nicholas Siau atau turut dikenali sebagai Nemo, objektif bagi inisiatif PAPU adalah untuk menjual ‘pop art’ mampu milik kepada generasi muda yang sememangnya menaruh minat terhadap seni.
Menurutnya, PAPU juga mensasarkan masyarakat umum yang ingin menghiasi ruang mereka dengan karya seni menarik pada bajet yang terhad.
“PAPU menawarkan bermacam-macam jenis karya seni dan saya telah memilih setiap satunya berdasarkan citarasa saya sendiri.
“Tiada satu pun karya seni yang ada di sini yang saya tidak akan beli sendiri.
“Setiap karya seni yang dipamerkan adalah unik dan mempunyai kisah mereka sendiri..
“Walaupun misi saya adalah untuk membuka jalan dan menggalakkan orang muda di Malaysia untuk mengenali dunia seni tempatan yang semakin berkembang, namun ingin saya tekankan bahawa PAPU dicipta sebagai ruang yang mengalu-alukan kedatangan semua orang.
“Dari mula tercetusnya idea ini, sampai sekarang, konsepnya adalah sentiasa mesra rakyat,” ujar Nemo.
Tambah Nemo, PAPU telah dilancarkan pada 2018 sebagai satu gerakan seni dan sehingga ke hari ini, ia telah mengumpul lebih daripada 500 karya seni yang boleh dipamerkan dalam pelbagai saiz dan harga.
“Ini bukanlah satu galeri. Garis panduan yang dikenakan oleh galeri tidak sesuai digunakan di PAPU.
“PAPU lebih mesra, santai dan suasananya lebih terbuka. Ini bukanlah satu konsep yang baru. Ia pernah dilakukan sebelum ini tetapi apa yang kita ada sekarang sedikit berbeza.
“Kadang-kadang pembeli yang membeli karya seni pada kali pertama akan terkejut apabila mereka mengetahui yang kami ada menjual karya seni serendah RM70 (siap untuk digantung) dan kemudiannya saya perasan yang mereka akan datang semula untuk dapatkan lagi banyak benda.
“Sambutan yang diterima adalah bagus tetapi saya ingin lagi ramai yang datang ke PAPU untuk melihat sendiri apa sebenarnya PAPU ini.”
Untuk makluman, PAPU akan berada di Publika sehingga Disember 2022 dan ia dibuka setiap hari dari 11am ke 10pm.
PAPU menawarkan lebih banyak karya seni grafiti dan seni jalanan dengan menampilkan nama-nama seperti Adeputra Masri, Badrulzzaman Abu, Nazmi Ismail, Syukur Rani, Chris Tan, Haris Ribut, Fritildea, Aesmo Roc, Jefr dan artis-artis yang sedang meningkat naik seperti Sanan Anuar, Oli dari Indonesia dan Koh Kai Ting yang berada di Singapura.
*Artikel asal di Gempak

Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Pop Art Pop Up #PAPU #Nicholas Siau #nemo
;