Komen negatif media sosial ancaman halus kepada kesihatan mental - Pakar psikologi
Farhan Hakimi
Februari 27, 2025 11:00 MYT
Februari 27, 2025 11:00 MYT
Hanisa Begam (kiri), bercakap dalam program AWANI Pagi hari ini, menjelaskan, silent depression ialah satu bentuk kemurungan yang tidak disedari kerana individu yang mengalaminya menyembunyikan perasaan sebenar.
KUALA LUMPUR: Komen yang berbaur negatif dan menghina fizikal di media sosial mampu memberi kesan psikologi serius kepada individu yang menerimanya sehingga hilang keyakinan diri.
Menurut Pakar Psikologi Klinikal, Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Hanisa Begam Najib Mohammad tindakan itu juga berupaya membuat seseorang pengguna media sosial mengambil tindakan ekstrem seperti mengamalkan diet tidak sihat untuk kelihatan lebih ideal.
"Kadang-kadang komen itu boleh berikan kesan negatif. Contoh, dia (pemberi komen) kata 'nampak gemuk sikit'.
"Walaupun nampak seperti biasa, sebenarnya ia boleh memberi impak kepada mereka (pengguna media sosial).
"Ini boleh membuat seseorang itu tak nak makan terus, tidak mengamalkan diet yang sihat dan sebagainya," ujarnya.
Hanisa Begam berkata, hilang keyakinan diri boleh membawa kepada silent depression, iaitu satu bentuk kemurungan yang tidak disedari kerana individu yang mengalaminya cenderung menyembunyikan perasaan sebenar.
Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata golongan remaja perempuan Malaysia berdepan dengan risiko menghidap masalah kesihatan berkaitan mental termasuk kemurungan, dua kali ganda lebih tinggi berbanding remaja lelaki.
Ujarnya ini dibuktikan berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 yang menunjukkan 26.9 peratus remaja memenuhi kriteria kemurungan, dengan prevalens lebih tinggi dalam kalangan perempuan iaitu 36.1 peratus berbanding lelaki hanya 17.7 peratus.