Kombiglyze XR, rawatan baru pesakit diabetes
Astro Awani
November 29, 2012 17:45 MYT
November 29, 2012 17:45 MYT
Pesakit diabetes tahap kedua kini tidak perlu hanya bergantung kepada suntikan insulin.
Ini kerana satu rawatan baru, Kombiglyze XR dari Amerika Syarikat terbukti mampu mengawal kadar gula dengan pengambilan sekali sehari.
Penemuan Kombiglyze XR dianggap signifikan berikutan malaysia kini mencatatkan bilangan penghidap penyakit diabetes tahap kedua tertinggi di rantau asia tenggara.
Perkara itu didedahkan pakar endokrinologi Profesor Datuk Dr Wan Mohamad Wan Bebakar ketika pelancaran Kombiglyze XR hari ini.
“Kajian kesihatan dan morbiditi kebangsaan 2011 menunjukkan bilangan penghidap diabetes di seluruh dunia juga dijangka akan meningkat daripada 230 juta ketika ini kepada 440 juta menjelang 2030,” jelas beliau.
Sementara itu, pakar endokrinologi, Profesor Dr Chan Siew Pheng berkata cara pengambilan sekali sehari ubatan akan memastikan pesakit lebih berdisiplin berbanding pengambilan beberapa jenis ubat secara lebih kerap.
Ia juga mengurangkan risiko berhadapan komplikasi seperti penyakit jantung yang merupakan pembunuh nombor satu pesakit diabetes tahap ini.
“Kemungkinan besar mereka akan ambil ubatan untuk mengawal tekanan darah, mengawal kolesterol... jadi akan ada pelbagai jenis ubat.
“Saya rasa lebih sedikit bilangan jenis ubat yang perlu diambil, lebih baik kemungkinan untuk mereka meneruskan ubat-ubatan itu,” kata beliau.
Diabetes tahap kedua merupakan penyakit kencing manis yang kronik dan pantas merebak jika tidak dikawal.
Dalam tempoh masa tertentu, penghidapnya terpaksa mengambil pelbagai jenis ubatan bagi merawat komplikasi yang timbul akibat daripada penyakit tersebut .
#insulin
#Kombiglyze XR
#pesakit diabetes
#Profesor Datuk Dr Wan Mohamad Wan Bebakar
#Profesor Dr Chan Siew Pheng
#tahap kedua