Kiulu sajikan 'Pancing Layang' buat pengunjung
Fifi Harteeny Marzuki
Jun 20, 2018 21:37 MYT
Jun 20, 2018 21:37 MYT
Siapa sangka Kiulu yang terkenal dengan aktiviti berakit jeram juga merupakan lokasi aktiviti ‘Pancing Layang’ yang terbaik di Sabah.
Sungai Kiulu yang terletak kira-kira 70km ke utara Kota Kinabalu dan mengambil masa kira-kira sejam perjalanan dari bandaraya Kota Kinabalu dengan menaiki kereta, sungai ini ‘menyajikan’ para pengunjung dengan satu panorama alam sekitar yang kaya dengan keunikan flora dan fauna.
Menurut salah seorang individu yang memperkenalkan aktiviti ‘Pancing Layang’ di Kiulu, Rusdi Lusi, 41 tahun, pengunjung yang datang ke Kiulu untuk menikmati sendiri keseronokkan aktiviti ini tidak akan pulang dengan tangan kosong.
Ini kerana Sungai Kiulu pasti memberikan ‘habuan’ yang lumayan kepada pengunjung.
“Sembilan tahun lalu saya dan abang saya telah mula memperkenalkan aktiviti ini di Sungai Kiulu dan pada peringkat awal ramai penduduk yang menentang aktiviti ini kerana mereka beranggapan ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada sistem tagal di kawasan ini.
“Namun selepas kami memberikan keyakian kepada penduduk kampung dengan membawa mereka bersama ketika menjalankan aktiviti ini yang berkonsepkan tangkap dan lepas, akhirnya mereka mula menerima dan ketika ini aktiviti ini menjadi antara tarikan utama di sini,” katanya.
Dengan kadar bayaran antara RM80 hingga RM150 seorang, Sungai Kiulu pasti memberikan satu coretan kenangan yang tidak akan dapat dilupakan oleh pengunjung.
Aktiviti ‘Pancing Layang’ di Kiulu bukan sahaja mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung dari dalam negara malah ia turut mendapat sambutan dari pelancong luar negara.
Rusdi menyatakan, antara pelancong luar negara yang kerap datang ke kawasan ini adalah pelancong daripada United Kingdom, Australia, Singapura, Brunei, Indonesia dan Finland.
“Kalau aktiviti ‘Fly Fishing’ ini, pengunjung luar negara yang pernah datang ke sini adalah dari United Kingdom, Australia, Singapura, Brunei, Indonesia dan Finland.”
“Sementara itu, pengunjung dari dalam negara terutama dari Semenanjung Malaysia pula lebih suka datang ke Kiulu secara perseorangan dan ramai juga di kalangan mereka yang datang ke Sabah bukan untuk memancing tetapi apabila mengetahui Kiulu menawarkan aktiviti ini mereka terus memilih untuk merasai sendiri keseronokkan ‘Fly Fishing’,” katanya.
#Australia
#Finland
#habuan
#Indonesia
#Kiulu
#Kota Kinabalu
#pancing Layang
#pelancong
#Rusdi Lusi
#Singapura