Kisah Romeo & Juliet inspirasi koleksi raya Rizman Ruzaini 2017

Azyyati Ahmad
Jun 12, 2017 15:14 MYT
Inspirasi kisah Romeo & Juliet dipilih adalah bagi meraikan simbol utama di aidilfitri iaitu, cinta dan kasih sayang. - Foto Instagram RizmanRuzaini
KISAH cinta epik Romeo & Juliet menjadi look lebaran pada tahun ini dalam koleksi Ready To Wear (RTW) buat pereka duo terkenal, Rizman Ruzaini yang berkolaborasi bersama Fashion Valet.
Mengetengahkan banyak elemen renda dan warna lembut dalam setiap rekaan, Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil, 33, dan Rizman Nordin, 33 berkata inspirasi tersebut dipilih adalah bagi meraikan simbol utama di Aidilfitri iaitu, cinta dan kasih sayang.
“Kita tahu Romeo & Juliet membawa satu kisah cinta yang sangat kuat dan kerana rasa cinta itu kami terapkannya dalam koleksi raya tahun ini.
“Cinta di hari raya bukan hanya cinta lelaki dan perempuan tetapi lebih kepada rasa cinta kepada agama dan keluarga. Segala-galanya mengenai cinta dan sayang pada hari raya nanti dan kami meraikan semua yang bersifat kecintaan,” kata mereka.
Tambahnya, penggunaan renda dalam rekaan kali ini adalah bagi menimbulkan elemen mewah dan classy buat si pemakai.
“Bila kita sebut Romeo & Juliet, kita tahu kisah itu ada elemen sentimental, romantik dan classy. Untuk kita tafsirkan kisah itu dalam rekaan kali ini kita gunakan renda dan sedikit riben sebagai perincian,” kata mereka.
Sebanyak 19 rekaan bagi wanita dan lima rekaan bagi lelaki dikeluarkan Rizman Ruzaini pada tahun ini.
Saksikan temubual penuh Rizman Ruzaini di Style District episod 'edisi pening cari baju raya' yang menampilkan juga temubual bersama Ketua Jenama Persendirian Zalora Rayne Reed dan kisah di sebalik jenama Larney.
#baju raya #fesyen #Rizman Ruzaini #RTW #Style District
;