Kisah penuh inspirasi Thanabalan jadi perhatian
Azyyati Ahmad
Ogos 27, 2017 19:59 MYT
Ogos 27, 2017 19:59 MYT
KETIKA ini, nama penyerang Harimau Muda, N. Thanabalan disebut-sebut, bukan sahaja gaya jambangnya yang menjadi ikutan tetapi kisah hidupnya yang bermain bola demi menyara rawatan perubatan bapanya turut diperkatakan.
Satu muat naik yang dikongsi penyokong pasukan Negeri Sembilan, Buffalo Souljah menceritakan mengenai detik dia bertemu Thanabalan.
Menurut Buffalo Souljah, dia berasa pelik mengapa Thanabalan sanggup mengikat kontrak yang lama bersama pasukan Negeri Sembilan.
Namun, jawapan yang diberi nyata membuatkan dirinya sebak, apabila Thanabalan mengakui bahawa dia berbuat demikian kerana tak sanggup berjauhan dengan bapanya yang uzur.
Thanabalan yang ketika ini bermain untuk pasukan Felcra mengesahkan apa yang diceritakan Buffalo Souljah adalah perkara yang betul.
Sehingga kini katanya, walaupun menjalani latihan di Kuala Lumpur, Thanabalan akan tetap berada dekat dengan keluarganya.
Pada Sabtu, nama Thanabalan dijulang sebagai hero kerana berjaya menjaringkan gol emas ketika perlawanan menghampiri waktu keemasan.
Gol berkenaan melayakkan Malaysia ke pusingan final Sukan SEA tahun ini selepas menewaskan seteru tradisi, Indonesia.