Kisah 'office boy' yang kini juruterbang jadi inspirasi
Madiha Abdullah
Mac 18, 2016 16:46 MYT
Mac 18, 2016 16:46 MYT
KISAH yang dikongsi ini mungkin boleh menjadi inspirasi buat sesiapa sahaja yang pernah melalui kegagalan, sekaligus menjadi pengajaran bahawa usaha yang tidak mengenal putus asa akan membuahkan hasil satu hari nanti.
Kugan Tangiisuran menyertai syarikat penerbangan AirAsia sebagai despatch atau dalam bahasa pasarnya, budak pejabat. Namun dia punya cita-cita setinggi gunung, mahu terbang tinggi di awan biru, mengendalikan pesawat sebagai juruterbang.
Kegagalan demi kegagalan langsung tidak menggugat semangatnya. Selepas 11 kali gagal dalam ujian kemasukan sekolah penerbangan, Kugan kini mampu mendabik dada apabila berjaya mencapai impiannya itu.
Kisah Kugan pernah diceritakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes sewaktu upacara graduasi pelatih AirAsia. Ia kemudiannya diceritakan semula oleh seorang pengguna Facebook yang juga bekas wartawan, Syahril A.Kadir.
Perkongsian kisah Kugan kini viral di laman sosial, dengan ramai menyifatkan ia sebagai satu pencetus semangat dan pendorong, khususnya bagi mereka yang masih tercari-cari arah untuk mengejar cita-cita.
Kugan yang kini merupakan Pegawai Pertama, dilaporkan lulus sekolah penerbangan tahun lalu, dan telah menerbangkan Airbus ke serata dunia.