Kisah arak dari Korea yang diperbuat daripada najis budak
Gempak
November 11, 2023 13:20 MYT
November 11, 2023 13:20 MYT
KITA sering mendengar tentang arak yang diperbuat daripada buah-buahan atau tanaman bijirin seperti buah anggur, gandum dan juga beras.
Namun, tahukah anda yang ada arak diperbuat daripada najis kanak-kanak?
Memetik hantaran yang dikongsikan oleh The Patriot Asia di platform X, arak yang diperbuat daripada najis kanak-kanak wujud di negara Korea. Arak ini dipanggil ttongsul.
Seperti tamadun Cina, tamadun Korea juga kaya dengan tradisi herba, rawatan dan makanan aneh seperti arak ttongsul ini.
Proses untuk membuat arak ini dimulakan dengan menapai najis kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun. Dikatakan yang disebabkan proses penapaian, bau najis akan menjadi lebih tengik.
Kemudian, tapaian najis itu akan dicampur dengan beras pulut, beras biasa dan yis untuk lalui fasa tapai arak.
Arak ini didakwa mampu merawat radang dan melegakan kesakitan. Kadang-kala, tulang kucing ditambah untuk menjadikannya lebih bertonik. Difahamkan rasanya persis soju biasa, tetapi mempunyai sedikit bau najis.
Selain najis kanak-kanak, ada juga yang menggunakan najis haiwan seperti najis ayam dan anjing. - Artikel asal di Gempak