Kisah anak muda penjinak lembu, penarik pedati

Bernama
Mac 26, 2022 10:30 MYT
Pengunjung menikmati keindahan suasana kampung dengan menaiki kereta lembu di Kampung Tambak Bugis, Telok Mas, Melaka. - Foto fail/BERNAMA
MELAKA: 'Abang' dan 'Adik' memperlahankan langkah sebaik sahaja kedengaran "Hoooo", suara lantang mengawal pergerakan dua ekor lembu berwarna putih dan kelabu yang menarik pedati berwarna coklat gelap, berbumbung unik ini.
Dengan bonggol bersaiz hampir sejengkal jari orang dewasa, dua ekor lembu itu adalah antara lapan 'nadi penggerak' kereta lembu yang menjadi sebahagian identiti khazanah sejarah dan pelancongan di negeri penuh bersejarah, Melaka.
Mungkin ramai yang tidak tahu tugas melatih dan menjinakkan haiwan itu untuk patuh pada arahan bukanlah sesuatu yang mudah.
Inilah yang dikongsi generasi keenam pengajar dan pembuat kereta lembu di Melaka, Adam Hazrik Zulhilmi, 32, dengan Bernama baru-baru ini.
Banyak faktor termasuk jenis baka dan hubungan antara lembu itu perlu diambil kira bagi memudahkan proses mengajar haiwan berkenaan untuk patuh kepada arahan ketika menarik kereta lembu.
"Biasanya orang tahu mengenai penjinak kuda, harimau atau gajah. Lembu pun ada cara tersendiri untuk dijinakkan terutama jika digunakan sebagai penarik kereta lembu," jelas Adam Hazrik.
BONGGOL, PUSAR DAN KUKU
Menurut anak jati kelahiran Kampung Tambak Bugis, Telok Mas, Melaka Tengah ini, lembu baka Brahman atau Siam adalah yang terbaik untuk digunakan sebagai penarik kereta lembu kerana mempunyai bonggol yang besar.
"Kedua-dua baka ini juga lebih tenang dan selalunya kita akan beli dan mula latih lembu dari umur setahun atau sudah bersalin gigi dua kali. Untuk tugas menarik kereta lembu ini, hanya lembu jantan digunakan," katanya dengan menambah, keluarga beliau memiliki lapan ekor lembu untuk menarik pedati.
Bagimanapun, beliau menjelaskan, ada beberapa pantang yang perlu dielakkan dalam pemilihan lembu bagi tujuan ini.
Macam kedudukan pusar. Macam orang juga, kalau ada dua pusar, selalunya ia petanda nakal, ada perangai, sentiasa buat hal seperti suka meregang (mengeraskan badan/ meronta). Begitu juga kalau pusarnya ada di belakang daripada tempat dia kencing.
"Lembu yang pusarnya satu, dekat dahi tapi bukan dekat tanduk, selalunya baik, senang diajar, dengar kata, tenang dan tidak mudah gelisah jika berada di tempat awam," jelasnya.
Selain pusar, keadaan dan bentuk kuku lembu juga menjadi antara kriteria utama pemilihan dan pembelian lembu yang dilakukan keluarganya sejak turun-temurun.
"Kalau kuku jenis cantum, selalunya lembu itu jenis lasak. Jangan macam bentuk kuku babi kerana jenis ini selalunya cepat penat," katanya, menambah lembu berkenaan dibeli daripada penternak lembu sekitar Pulau Pinang, Selangor Johor, Kedah dan Kelantan.
KEMAHIRAN TURUN TEMURUN
Untuk menjadikan kedua-dua ekor lembu jantan serasi, ia memerlukan kemahiran yang bukan sedikit dan menurut Adam Hazrik, atas sebab itulah beliau akan membeli dua ekor lembu jantan dari kandang yang sama.
"Tak semestinya lembu itu adik-beradik tapi kalau boleh dari kandang yang sama. Kita juga akan tengok bapa kepada lembu itu. Kalau bapanya baik, Insya-Allah anaknya juga akan okay.
"Tapi perkara ini bergantung juga kepada nasib. Kadang-lkadang dapat seekor yang baik, seekor lagi nakal. Akan mencabar sikit jika ini berlaku kerana si baik ini akan terikut perangai si nakal," katanya.
Mengakui tiada teknik pengajaran yang khusus, beliau menjelaskan, ia bergantung kepada lembu serta kemahiran mengajar dan menjinakkan haiwan itu yang diwarisi turun-temurun terutama daripada bapanya.
"Jika selepas dua atau tiga kali latihan dan tidak serasi atau suka berlaga , mereka akan menukar pasangan lembu tersebut.
"Selalunya kalau pasangan lembu yang baik, tempoh menjinak akan ambil masa sekitar sebulan atau dua bulan sebelum digunakan menarik kereta lembu yang membawa pelancong," jelasnya.
BESI BERDURI ALATAN MENGAJAR
Berkongsi lebih lanjut, Adam Hazrik dan abang-abangnya, Samsudin Abdul, 44, dan Tajudin Abdul, 53, mempunyai beberapa 'senjata' untuk menjinak dan melatih lembu berkenaan, antaranya, besi peregang dan anak kumbang yang berbentuk duri-duri tajam.
"Selalunya alat ini akan digunakan jika lembu suka meregang badannya kerana ini akan menyebabkan kayu pelantar yang diletak pada bonggolnya senget.
"Jadi alat berduri ini akan diletakkan di bahagian leher dan apabila lembu hendak meregangkan badannya, besi berduri itu akan sedikit mencucuk (tanpa mencederakan) dan mengakibatkan lembu kembali pada posisi asal," katanya yang turut menjelaskan kebiasaanya alat itu digunakan pada peringkat awal ke atas lembu yang nakal sahaja.
Mengakui situasi ditendang, ditanduk dan dilambung lembu merupakan asam garam setiap kali mengajar dan menjinakkan lembu, beliau berkata, melatih serta menjinakkan lembu mempunyai cabaran tersendiri biarpun beliau juga mempunyai kemahiran menjinakkan kuda.
"Kalau kuda kita latih seekor, tapi lembu untuk kereta lembu ni, kita kena latih dua ekor sekali gus sebab nak bagi serasi.
"Kita tak boleh nak jangka bila dia boleh naik 'minyak'. Ada masa, ketika pasang pada pedati, okay. Tapi bila tengah berjalan dan ada yang terkejut akibat dihon kereta atau pelancong menyentuh pada bahagian sensitif, mulalah lembu akan memecut. Bila pecut, susah nak kawal tali yang diikat kepada kedua-dua lembu," katanya.
Penggunaan beberapa frasa seperti “bah, haaiipp, hooo” juga akan diajar bagi memastikan lembu-lembu memahami arahan yang diberikan, terutama ketika membawa pelancong.
KEKAL TRADISI, ILMU WARISAN AYAH
Biarpun berdepan pelbagai cabaran, Adam Hazrik serta adik beradiknya yang lain tetap berbangga kerana mendapat ilmu yang bagi mereka, lebih bernilai daripada harta dan wang ringgit.
"Kami dapat ilmu yang tak boleh diperoleh daripada tempat lain. Daripada ilmu menjinak lembu dan membuat kereta lembu, semuanya diwarisi daripada arwah ayah kami. Jadi ia tak akan sama, saya akan kekalkan ia turun-temurun dan tak akan luput daripada generasi kami, insya-Allah” katanya.
Biarpun beberapa lokasi tontonan dan membawa pelancong menaiki kereta lembu ditukar malah hampir 'tenggelam' apabila ikon sejarah Melaka itu pernah dilarang berada di kawasan tumpuan pelancongan atas faktor kebersihan dan kesihatan haiwan, beliau nekad mempertahankannya.
Kini, kereta lembu menjadi antara tarikan terbaharu Perkampungan Hang Tuah di Duyung dan sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila orang ramai teruja untuk menaikinya.
"Rata-rata yang naik adalah golongan warga emas dan dewasa kerana mahu mengimbau nostalgia kehidupan masa lampau," ceritanya.
Biarpun pada hari minggu atau cuti umum boleh mencecah sehingga lebih 15 trip perjalanan, beliau berkata kebajikan haiwan tersebut sentiasa menjadi keutamaan mereka.
Tiap lenggok dan bahasa tubuh lembu akan diperhatikan dan sekiranya ada tanda-tanda keletihan, haiwan itu akan segera direhatkan.
"Kami ada empat pasangan lembu yang bergilir-gilir digunakan untuk membawa pelancong. Sebelum bertugas pun, kami akan beri makan secukupnya dan dimandikan agar lembu ini berasa selesa dan segar. Selain itu, lembu peliharaan kami turut mendapat rawatan secara berkala daripada veterinar bagi memastikan kesihatan di tahap terbaik," katanya.
-- BERNAMA

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!

#kereta lembu #Melaka #pedati #perkampungan hang tuah
;