Kini Trending terus berkongsi 5 cerita paling menarik di media sosial.
#5 JAHIT: KERJA KUAT & KETEKUNAN UNTUK BERUBAH
Jika tiga hari lalu, Petronas hanya memuatnaik video berdurasi 46 saat iklan versi raya mereka, beberapa jam lalu video penuh telah pun dimuat naik.
Dengan tema tahun ini, kudrat membawa berkat menerusi iklan berjudul Jahit, ia membawa mesej kerja kuat dan ketekunan mampu membawa perubahan dalam hidup.
Rata-rata masyarakat berpuas hati dengan iklan yang dibawakan Petronas saban tahun terutamanya menjelang hari raya Aidilfitri dengan mesej yang penuh bermakna.
#4 TIADA IKLAN DI INSTAGRAM
Nampaknya, pengguna Instagram boleh menarik nafas lega kerana CEO Facebook, Mark Zuckerberg telah memberi jaminan bahawa Instagram tidak akan memaparkan sebarang iklan dalam tempoh terdekat ini.
Bagaimanapun, kemungkinan besar syarikat itu akan menyelitkan iklan pada masa hadapan setelah bilangan penggunanya mencapai sasaran.
Facebook meraih sebahagian besar hasil daripada pengiklanan namun perkhidmatan pada peranti mudah alih dilihat sebagai amat penting ekoran penggunamula beralih dari komputer kepada telefon pintar dan tablet.
#3 Pacific Rim VS The Conjuring
Antara empat filem hangat yang dibuka pada hujung minggu ini, filem seram ‘The Conjuring’ paling mendapat sambutan.
Filem ini mengisahkan dua orang penyiasat paranormal terkenal Ed dan Lorraine Warren yang dipanggil untuk membantu keluarga yang diserang oleh makhluk halus.
Semasa pembukaannya sahaja, filem seram ini berjaya meraih keuntungan bersih sebanyak USD$41 juta.
Selain itu, filem 'Pacific Rim' yang bergenre aksi ini tidak kurang hebatnya.
Ia mengisahkan makluk raksasa yang dikenali sebagai Kaiju muncul dari dasar laut untuk memporak-porandakan bumi dan manusia.
Untuk mengetahui kesudahan kepada cerita ini, apa kata saksikannya sendiri di panggung wayang berdekatan anda.
#2 TAMAN TEMA 20TH CENTURY FOX DI MALAYSIA
Presiden 20th Century Fox memilih Resort World Genting sebagai rakan kongsi untuk membangunkan taman tema Fox pertama di dunia selain menyifatkannya sebagai menepati kehendak pelaburan 20th Century Fox.
Taman tema itu juga akan menggunakan 25 hingga 30 hak harta intelek filem blokbuster keluaran 20th Century Fox seperti Ice Age, Rio, Life Of Pi, Predator dan Night At The Museum.
Sementara itu, taman tema Kumpulan Genting yang berusia 35 tahun itu akan ditutup sepenuhnya bermula September ini bagi memberi laluan kepada pembinaan taman tema 20th Century Fox yang pertama di dunia.
#1 Flashmob: DUDUK DUDUK BACA QURAN
Berbekalkan mushaf dan aplikasi Quran dari peranti masing-masing, apa yang mereka lakukan adalah duduk berkumpul beramai-ramai dan membaca Al-Quran di tempat awam.
Program anjuran Weekenders Club ini telah menarik penyertaan lebih dari 200 orang yang dipromosikan melalui media sosial.
Menariknya, majoriti mereka yang menyertai flashmob ini adalah dari golongan muda dimana mereka telah berkumpul seawal jam 5.30 petang untuk menjayakan flashmob ini.