Khazanah alam, spesies terancam di Gunung Stong dan Gua Ikan

Vivi Sumanti
Ogos 3, 2018 08:44 MYT
Selain keindahan panorama hutan simpan, air terjun antara tertinggi di dunia dan spesis tumbuhan unik, terdapat juga spesis binatang yang diancam kepupusan di kawasan berkenaan. - Foto Astro AWANI
Ramai yang tidak mengetahui khazanah alam tersembunyi di Gunung Stong, Hutan Jelawang dan juga Gua Ikan di negeri ini.
Selain keindahan panorama hutan simpan, air terjun antara tertinggi di dunia dan spesies tumbuhan unik, terdapat juga spesies binatang yang diancam kepupusan di kawasan-kawasan berkenaan.
Antaranya, kera duku atau sloth di Gua Ikan, burung kenyalang badak di Gunung Stong, serta siamang dan serangga unik yang berdepan kepupusan sekiranya tidak dipelihara.
Menurut Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud, spesis berkenaan merupakan antara yang jarang ditemui.
“Kera siambang, kera duku atau sloth binatang pemalu. Burung kenyalang badak, atau hornbill, serangga besar dan pelbagai spesies tumbuhan unik boleh dilihat di Gunung Stong.
"Kesemua ini jenis terancam yang memerlukan pemuliharaan dan kelestarian hutan,” katanya.
Beliau menjelaskan, pemuliharaan hutan kekal dan khazanah alam di hutan Jelawang, Gunung Stong dan Gua Ikan perlu dilakukan, bukan sahaja melibatkan pihak berkuasa, bahkan pengunjung, bagi memastikan spesies berkenaan terpelihara.
"Tak banyak (spesies diancam kepupusan) yang masih ada di sini.
"Kita akan bincang dengan pihak Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan dan Kerajaan Negeri bagi mengekalkan spesies ini sebagai tarikan pelancongan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas program Integrasi Jabatan Bomba dan Industri Eko Pelancongan yang diadakan di Gua Ikan dan Gunung Stong selama tiga hari baru-baru ini.
Program tersebut anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan, Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia Kelantan serta Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi).
Program itu turut disertai 45 peserta, termasuk wakil media, pakar kecantikan, jurumekap, ahli kosmetik dan anggota bomba sukarela.
#Gunung Stong #Hutan Jelawang #Kelantan #Kenyalang Badak #Kera Duku #Khazanah #Malaysia #Mohd Aidil Afizie Daud #pelancongan #spesis terancam
;