Khairul Aming juri TikTok Awards Malaysia 2024

Hilal Azmi
Julai 25, 2024 23:41 MYT
Pemilihan Khairul Aming sebagai juri kali ini amat signifikan dengan kejayaannya yang dinobatkan sebagai Creator of The Year tahun lepas. - X @khairulaming
KUALA LUMPUR : Pempengaruh media sosial yang terkenal, Khairul Aming, kini salah seorang juri utama untuk TikTok Awards Malaysia 2024, bagi memilih pemenang untuk segmen Pilihan Juri.
Pemilihan Khairul Aming sebagai juri kali ini amat signifikan dengan kejayaannya yang dinobatkan sebagai Creator of The Year tahun lepas.
Ketika sidang media yang diadakan pada Khamis, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu menyifatkan menjadi pencipta kandungan bukanlah satu tugas yang mudah.
"Selain menghiburkan orang dengan kandungan yang kita cipta, setiap langkah dan aktiviti kita akan 'dipantau' dan diikuti. Jadi tugas content creator sangat besar sebenarnya dalam membentuk persepsi masyarakat,” katanya yang teruja untuk menjurikan pencipta kandungan bagi tahun ini.
Malah, beliau turut menggariskan lima perkara yang penting ketika mengenal pasti pencipta kandungan dalam TikTok Creator Awards tahun ini;
  1. Usaha untuk menambah baik kandungan yang dicipta sama ada jalan cerita mahupun perkembangan cerita yang lebih baik untuk pengikut.
  2. Personaliti yang baik terutamanya pengurusan hubungan massa yang cekap dan strategik.
  3. Keaslian kandungan juga penting kerana ia akan membawa kepada keunikan kandungan yang dicipta.
  4. Spektrum kreativiti yang luas serta dapat mencetuskan trend baharu.
  5. Pencipta kandungan yang bernilai tinggi akan dapat memberi impak positif kepada masyarakat.
TikTok Awards Malaysia 2024 akan berlangsung pada 11 Ogos 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (World Trade Centre) Kuala Lumpur.
Sebanyak 12 kategori dipertandingkan menerusi dua segmen utama iaitu segmen Pilihan Juri dan Pilhan Popular.
#Khairul Aming #pencipta kandungan #TikTok Creator Awards #juri #content creator
;