Khai Bahar kongsi kisah bersahur cara orang bujang, belum sedia berkahwin
Hasimi Muhamad
April 17, 2022 11:00 MYT
April 17, 2022 11:00 MYT
SETIAP kali tiba Ramadan, pasti tergambar kemeriahan berbuka puasa bersama orang tersayang terutamanya mereka yang berada di kampung.
Tidak dapat dinafikan, kerinduan bersama insan tersayang menyambut Ramadan sangat dinanti-nantikan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bujang dan tinggal berjauhan daripada ibu ayah.
Bagi penyanyi popular, Khai Bahar, 28, momen-momen tersebut juga antara yang paling dirindui terutamanya suasana bersahur dan berbuka puasa bersama keluarga tercinta.
Berkongsi pengalaman Ramadan kepada Astro AWANI, pemilik nama Muhammad Khairul Baharuddin bersyukur kerana pada tahun ini dia tidak lagi 'kesunyian' setiap kali tiba waktu bersahur atau berbuka.
Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, artis bujang itu berkata kehadiran adik-beradiknya yang tinggal bersama di Puchong, Selangor sedikit sebanyak mengubat kerinduan di bulan mulia ini.
Tutur anak keempat daripada enam beradik itu lagi, dia juga berkesempatan untuk pulang menyambut Ramadan bersama keluarga di kampung halaman pada awal puasa lalu selepas dua tahun tidak berpeluang berbuat demikian berikutan sekatan dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.
"Macam Khai sekarang ini senang sikit sebab dulu tinggal seorang, dan sekarang saya ajak abang, kakak dan adik tinggal sekali. Jadi perkara itu sudah tidak susah. Kadang-kadang mereka masak dan kadang kala saya berbuka di luar atau balik dari kerja singgah bazar Ramadan.
"Ramadan kali ini juga sangat-sangat menggembirakan sebab kita sudah terperap dan dua tahun kita memikirkan tentang pandemik dan sebagainya.
"Jadi untuk tahun ini bila menjelang Ramadan, kita ada kebebasan untuk keluar walaupun kena jaga prosedur operasi standard (SOP). Jadi, kegembiraan itu lain macam umpama lama tak jumpa keluarga padahal ada juga jumpa. Tetapi untuk menyambut Ramadan kali ini rasa macam seronok... boleh pergi lepak dengan kawan-kawan dan pulang kampung sekejap," ceritanya dalam nada teruja, baru-baru ini.
Kekal bertenaga bulan Ramadan
Tidak lekang dengan senyuman sepanjang bercerita, Khai yang terkenal dengan gelaran King of Smule menambah untuk memastikan dia kekal bertenaga pada bulan Ramadan, penyanyi lagu Luluh itu lebih memilih untuk bersahur dengan oat, susu dan kurma.
Mengakui walaupun pernah dianggap amalan itu sebagai 'bajet-bajet', bagi anak kelahiran Kangar, Perlis itu, dia tidak mahu mengambil pusing kerana setiap orang mempunyai citarasa berbeza untuk menu bersahur.
"Saya rasa benda itu (oat bersama susu dan kurma) lagi menahan perut saya (kenyang) berbanding nasi. Dia ikut orang, macam saya sendiri lebih memilih makan seperti itu (kerana) makan nasi akan cepat lapar dan mengantuk.
"Kadang-kadang bila kita cerita kepada kawan-kawan orang cakap, orang cakap "ala kau... bajet-bajet'. Saya tak kisah orang cakap apa, janji saya rasa itu yang sesuai untuk bersahur," ujarnya sambil menambah jarang terlepas sahur.
Mengulas lanjut, selebriti yang telah meraih 40 anugerah pada Anugerah MeleTOP ERA sejak 2017 hingga 2020 itu berkata, aktiviti seni pada bulan Ramadan juga sedikit diperlahankan bagi memastikan dia tidak terlepas untuk mengejar nikmat pada bulan Ramadan.
Belum sedia tamat zaman bujang
Dalam kesibukan merencana kerjaya, soal jodoh juga tidak dilupakan oleh Khai.
Pun begitu, dia tidak mahu tergesa-gesa untuk menamatkan zaman bujang dan memberi masa sekurang-kurangnya dua tahun lagi untuk mempersiapkan diri sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.
Pelantun lagu Jodohku itu menegaskan, adalah penting untuknya memastikan kehidupan dia betul-betul stabil sebelum memikul tanggungjawab sebagai suami.
"Tahun depan tidak lagi lah (tamatkan zaman bujang), target saya 30 lebih macam itulah. Sebab tahun depan 29, dua tahun ini belum lagi lah. Dalam dua tahun ini masih 'single' lagi. Insya-Allah.
"Macam Khai sendiri, ialah sekarang ramai orang kahwin... kawan-kawan saya sudah berkahwin. Ramai tanya 'Khai bila lagi kan?'.
"Jadi jawapan Khai belum berrsedia lagi sebab lagi satu, komitmen Khai belum stabil lagi dan kalau nak jaga anak orang ini, kena betul-betul boleh jaga bukan sekadar kahwin, bukan sekadar suka. Khai tidak mahu kahwin disebabkan suka nak kahwin, (tetapi) Khai nak kahwin bila betul-betul nak kahwin, dan betul-betul nak jaga anak orang," luahnya lagi.
Mengenai buah tangan terbaharu sempena Aidilfitri pula, Khai berkata muzik video lagu Rancak Raya dijangka disiarkan dalam masa terdekat.
Selain Khai, lagu Rancak Raya bersama aplikasi TikTok itu turut dinyanyikan oleh Fatia, Izzue Islam, Razmansyah serta Yazmin Aziz.