Keyakinan Generasi Milenium terhadap demokrasi kian berkurangan - Kajian
Saraya Mia
Disember 11, 2020 05:44 MYT
Disember 11, 2020 05:44 MYT
GOLONGAN anak muda kini tidak lagi berpuas hati dengan sistem demokrasi sedia ada jika dibandingkan dengan generasi-generasi sebelumnya, menurut satu kajian baharu.
Kajian oleh Pusat Masa Hadapan Demokrasi di Universiti Cambridge itu mendapati generasi milenium yang berusia 18 hingga 24 tahun menunjukkan penurunan yang ketara dalam minat dan kepercayaan terhadap sistem tersebut.
Menurut laporan kajian yang diterbitkan Oktober lalu, perkara itu disebabkan oleh wujudnya jurang ketidaksamaan di antara generasi.
“Beban hutang yang tinggi, kemampuan memiliki rumah, serta cabaran memulakan rumah tangga sambil bergantung kepada harta ditinggalkan keluarga, berbanding dengan bekerja keras dan mengharapkan bakat, turut menjadi faktor generasi belia hari ini kurang gembira,” kata penulis utama kajian berkenaan, Dr Roberto Foa.
Dalam pada itu, data oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) turut menunjukkan wujudnya jurang kekayaan yang ketara di antara generasi millennial dengan generasi-generasi sebelumnya.
Data itu menjelaskan individu berusia 35 tahun pada tahun 1990 (Boomers) mampu memiliki 21 peratus kekayaan negara berbanding Gen X di usia yang sama pada tahun 2008, yang hanya memiliki 9 peratus kekayaan negara.
Kajian berkenaan melibatkan hampir lima juta peserta dari lebih 160 negara dan pengumpulan data telah dimulakan sejak 1973 hingga 2020.
Untuk rekod, Generasi Milenium dilahirkan sekitar 1981 hingga 1996, Generasi X sekitar 1965 hingga 1980, Baby Boomers 1944 hingga 1964, manakala Generasi Silent dilahirkan sekitar 1918 hingga 1943.
#Belia
#Cambridge University
#Gen X
#Baby Boomers
#demokrasi
#golongan milenium
#Pusat Masa Hadapan Demokrasi
#Roberto Foa
#tidak puas hati