Keunikan iklan 'eskrim' jadi perhatian
Madiha Abdullah
Julai 9, 2017 09:52 MYT
Julai 9, 2017 09:52 MYT
IKLAN merupakan salah satu bentuk promosi yang dihasilkan untuk membantu melariskan jualan sesuatu produk.
Lebih menarik iklan, peluang untuk produk itu mendapat keuntungan akan lebih tinggi.
Apa pun bukan mudah untuk menghasilkan iklan yang menarik dan mampu menjadi perhatian ramai.
Sebuah jenama aiskrim Indonesia, Indoeskrim, nyata mempunyai resipi itu.
Menggabungkan aspek tradisi dan lagenda tempatan, disuntik cita rasa moden, iklan terbaharu untuk produk yang dinamakan Indoeskrim Nusantara itu berjaya menjadi buah mulut.
Plotnya ringkas, di mana dua beradik dipaparkan sedang bergaduh kerana berebut makanan.
Gagal meleraikan pertelingkahan anak-anaknya, si ibu menghubungi suaminya untuk membantu.
Keadaan kembali damai selepas si suami membawa aiskrim tersebut buat anak-anaknya.
Apapun, iklan berkenaan mengundang rasa geli hati netizen apabila watak-watak lagenda yang berpakaian bak wira wirawati dahulukala tetapi mempunyai kemudahan telefon pintar, malah turut menggunakan aplikasi Google Maps.
Turut menjadi bahan usikan adalah casing telefon yang digunakan watak-watak terbabit, yang disifatkan sangat 'mewah'.
Iklan tersebut yang dilancarkan 7 Julai lalu, sudah mula tular di banyak negara, selain turut diketengahkan oleh laman sosial dan interaktif, 9GAG.