Ketidaktentuan ekonomi tidak halang AL FARO sasar jualan RM25 juta

Astro Awani
Jun 19, 2023 18:51 MYT
Muhammad Irfan berkata, pihaknya sentiasa merangka dan mengubah strategi mengikut trend dan situasi ekonomi semasa agar jenama AL FARO bertahan dengan lebih lama dan kukuh.
KUALA LUMPUR: Dalam kegusaran pemilik perniagaan berdepan dengan kesan krisis ekonomi negara, jenama tekstil terkemuka AL FARO yakin perniagaan yang dikemudi masih berada di landasan yang betul.
Menurut Pengarah Pemasaran AL FARO, Muhammad Irfan, pihaknya sentiasa merangka dan mengubah strategi mengikut trend dan situasi ekonomi semasa agar jenama Al FARO bertahan dengan lebih lama dan kukuh.
"Pihak kami sentiasa peka dengan isu semasa dan bersiap sedia jika ada penurunan jualan. Sebagai contoh, jika terdapat penurunan jualan, kami akan terus merangka strategi tertentu agar perniagaan kembali berjalan dengan lancar.
"Dan untuk membuat strategi perniagaan juga tidak mudah. Kami perlu kaji sosio ekonomi negara dan kemudian menghasilkan produk mengikut kemampuan masyarakat.
"Maksudnya, kami menghasilkan pakaian untuk semua golongan daripada yang biasa sehingga golongan berkemampuan. Saya percaya, jika kita membuat rekaan mengikut kuasa beli pelanggan, dan harga pula berpatutan secara tidak langsung Al FARO masih boleh mengekalkan jualan yang stabil," katanya.
Tambah Irfan, strategi itu juga membuatkan AL FARO terpilih sebagai pemenang Asia Pacific Enterprise Awards 2023 dalam kategori Fast Enterprise Award di One World Hotel baru-baru ini.
Ia adalah kejayaan kedua Al FARO selepas meraih Anugerah Pensijilan Pengguna Top 500 Consumer Certification Trusty Brand Award anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) pada tahun lalu.
Sementara itu, Irfan memberitahu, Al FARO akan terus meletakkan sasaran akan meraih jualan sehingga mencecah RM25 juta.
Sementara itu, tambah Irfan lagi, kehadiran aktres Fasha Sandha sebagai duta AL FARO memberi lebih impak dalam perniagaan mereka.
"Fasha Sandha seorang aktres yang memberi pengaruh sangat besar kepada masyarakat tempatan dan secara tidak langsung jenama AL FARO pantas diperkenalkan dengan lebih meluas.
“Ini adalah jalinan pertama kami tetapi Fasha sudah memberi impak yang kuat terhadap jenama AL FARO.
“Saya berbesar hati Fasha menjadi sebahagian keluarga kami dan kami percaya tidak semua selebriti yang dilantik sebagai duta sesebuah produk bersungguh-sungguh mempromosikan jenama yang diwakili kepada umum seperti yang dilakukan Fasha," ujarnya.
#AL FARO #tekstil #perniagaan #Muhammad Irfan
;