Ketepikan stigma, jom cari jodoh di alam maya

Dania Zainuddin
Februari 10, 2016 07:32 MYT
Menigkut bancian yang dilakukan IJIM mensasarkan 2.5 juta individu berusia 23 tahun ke atas yang belum pernah berkahwin dan 700,000 adalah andartu. - Gambar Fail
Percayakah anda, jodoh dan pertemuan itu sebenarnya ada di Facebook, Instagram, Twitter dan segala bentuk media sosial di muka bumi ini.
Mengapa tidak? Cara tradisional mencari jodoh kini sudah diambil alih medium media sosial selain beberapa agensi berkaitan yang bekerja 24 jam demi kebahagiaan orang ramai.
Peranan sama dimainkan agensi Ikhtiar Jodoh Islam Malaysia (IJIM) di mana mereka menawarkan perkhidmatan sama namun dengan jaminan sistem paling mudah dan selamat.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam IJIM, Syakirah Mohd Noor stigma masyarakat terhadap agensi pencarian jodoh melalui alam maya perlu berubah seiring kemajuan teknologi dan penggunaan gajet terkini.
"Punca utama orang ramai masih skeptikal menggunakan agensi pencarian jodoh adalah kerana beranggapan ia jalan terakhir bagi mencari pasangan. Agensi carian jodoh banyak membantu kepada mereka yang bermasalah mencari jodoh sebab kita dah tahu masa peredaran zaman dah berubah.
"Dulu kita boleh cari pasangan melalui majlis kenduri atau majlis keluarga, tetapi kini kita dah ada teknologi dan gajet. Kita ada satu medium dan saya melihat masyarakat perlu lebih terbuka dalam menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan ini," katanya.
Agensi yang diwujudkan pada tahun 2008 sehingga kini telah berjaya menemukan hampir 1,000 pasangan.
Menigkut bancian yang dilakukan IJIM mensasarkan 2.5 juta individu berusia 23 tahun ke atas yang belum pernah berkahwin dan 700,000 adalah andartu.
Laman web IJIM sentiasa dipantau agar tiada kes-kes penipuan internet, penipuan kewangan, status perkahwinan, kelucahan alam cyber yang berleluasa akhir-akhir ini.
Dalam pada itu, Syakirah berkata, nama setiap calon yang mendaftar akan dirujuk kepada pihak berkuasa bagi mengesahkan mereka tiada rekod jenayah selain membuktikan status perkahwinan masing-masing.
Tambahnya, penyertaan golongan ibu bapa dalam mendaftarkan anak mereka ke dalam program itu membuktikan penerimaan masyarakat semakin meningkat.
"Kita mampu membuka minda keluarga, sebab kita ada pelanggan yang bukan dia yang datang kepada kita untuk cari jodoh tapi ibu bapanya yang mendaftarkan diri mereka untuk mencarikan jodoh untuk anak.
"Maknanya apa yang saya nampak di sini sedikit demi sedikit penerimaan masyarakat untuk menggunakan perkhidmatan pencarian jodoh ini menjadi satu cara utama untuk memudahkan mereka," katanya.
Sebagai individu yang giat dalam industri perjodohan, Syakirah menegaskan golongan yang menggunakan platform media sosial untuk berkenalan dan mencari pasangan perlu sentiasa berhati-hati dan tidak terlampau terbuka.
"Kalau kita memilih untuk mengenali seseorang melalui alam maya, paling utama bagi saya adalah untuk jangan terlalu mendedahkan semua maklumat mengenai diri anda.
"Tidak semestinya jika baru berkenalan dalam masa sejam atau dua, kita boleh bercerita segala-galanya tentang diri kita.
"Lebih baik kita kenal dulu orang itu sebelum berkongsi maklumat peribadi kita," katanya.
Di akhir pertemuan, Syakirah mahu program 'cinta' alam maya itu dikembangkan lagi supaya lebih ramai dapat bertemu pasangan hidup masing-masing, sama seperti kisahnya bertemu jodoh dengan Dahari Effendy Daud yang juga merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IJIM.
#alam maya #andartu #IJIM #Ikhtiar Jodoh Islam Malaysia #jodoh #nikah #perkahwinan
;