Ketagih minum 40 tin Coke sehari, lelaki ini akhirnya...

Syafik Shukri Jalil
Disember 15, 2017 14:48 MYT
Shane Trench, 21 tahun berkata hampir setiap hari dia akan minum sehingga 13 liter minuman ringan tersebut.
DEK kerana mengalami ketagihan yang teruk terhadap air minuman ringan Coca-Cola, seorang lelaki mengambil minuman itu sebanyak 40 tin sehari.
Menceritakan pengalamannya, Shane Trench, 21 tahun berkata hampir setiap hari dia akan minum sehingga 13 liter minuman ringan tersebut.
Katanya, tujuan dia mengambil minuman ringan itu adalah kerana dia ingin mengurangkan tabiat makannya.
Namun, tanpa disedari amalan buruknya itu menyebabkan tubuh badannya menerima 5,250 kalori sehari hanya dengan minuman itu.
Disebabkan pengambilan tidak terkawal itu juga, remaja dari Cheshire ini turut mengalami berat badan berlebihan sehingga mencecah 204 kilogram dan ini menyukarkannya untuk bergerak dan melakukan aktiviti lain.
Setelah sekian lama, akhirnya kedua ibu bapanya yang khuatir dengan risiko kesihatannya itu, mengambil tindakan menasihatkannya untuk berhenti dengan tabiat buruk luar biasanya itu.
Doktor yang ditemuinya juga memberi cadangan sama kerana dia mungkin akan mati sekiranya amalan itu diteruskan.
Setahun selepas itu, dia berjaya mengurangkan berat badannya hampir 70 kilogram dan tidak lagi menyentuh Coca-Cola.
Pada 2016, Trench menyertai Slimming World dan berjaya menurunkan 77 kilogram dan kini berat badannya ialah 127 kilogram dan berazam untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat.
#Cheshire #coca cola #diet #England #kalori #obesiti #risiko #Shane Trench #Slimming World
;