Kesunyian jejaskan produktiviti di tempat kerja
Isabelle Leong
Ogos 24, 2018 15:34 MYT
Ogos 24, 2018 15:34 MYT
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kesunyian menjadi masalah yang sering disuarakan masyarakat di seluruh dunia.
Bagi mereka yang pernah melaluinya, ia umpama kaca yang terhempas ke batu, berat dan menyakitkan.
Ada yang mengibaratkan dunia mereka menjadi gelap-gelita sehingga tidak mampu menanggung kesedihan tersebut.
Namun begitu, manusia sebagai insan ciptaan Tuhan yang enggan kelihatan lemah akan memilih untuk menyembunyikan perasaan sebenar mereka di sebalik topeng wajah ceria.
Menurut Pakar Psikologi Organisasi dan Jurulatih Peribadi, Hetal Doshi, individu yang mengalami kesunyian mengambil dua jenis pendekatan apabila berada di tempat kerja.
“Ada yang membawakan tekanan dan emosi terpendam mereka ke tempat kerja dan melepaskannya ke atas rakan sekerja dan juga orang bawahan.
“Kedua, mereka yang menganggap tempat kerja sebagai tempat perlindungan dan jalan keluar untuk melarikan diri daripada masalah dan tekanan yang dihadapi.
“Mereka amat gembira apabila berada di tempat kerja dan melaksanakan tugas pada tahap optimal,” jelasnya.
Hetal turut menegaskan bahawa budaya sesebuah organisasi turut memainkan peranan dalam menentukan tindakan individu ini ketika bekerja.
“Jika organisasi tersebut sering menghargai dan menaikkan pangkat mereka, individu yang sunyi dan murung ini akan berasa selamat dan terlindung di tempat kerja.
“Mereka akan berasa bebas dan gembira sekali gus boleh menggembirakan orang lain,” katanya.
Terdahulu, dalam satu lagi laporan khas Astro AWANI, pakar psikologi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor turut bersetuju dengan kesibukan kerja sebagai punca situasi itu berlaku.
Selain itu, menurutnya, faktor lain yang menyebabkan kesunyian adalah kekurangan komunikasi antara suami isteri, dipinggirkan keluarga dan bersendirian tanpa teman.
#anak
#cerai
#emosi
#Hetal doshi
#Jurulatih Peribadi Bertauliah O Psych Sdn Bhd
#kesunyian
#komunikasi
#mental
#Pakar Psikologi Organisasi
#suami isteri