Kesuma Jiwa citra cinta Rizalman Ibrahim

Saharudin Musthafa
Februari 22, 2020 17:10 MYT
Pementasan Kesuma Jiwa merupakan persembahan terakhir Rizalman sempena persaraannya sebagai pereka fesyen.
PEMENTASAN Kesuma Jiwa di Istana Budaya cetusan idea Datuk Rizalman Ibrahim pada Khamis lalu merupakan terjemahan makna silaturahim dari kaca mata personaliti fesyen tersohor negara itu.
Kesuma Jiwa bukan sekadar sebuah persembahan muzikal yang diadunkan dengan fesyen yang sinonim dengan beliau.
Sebaliknya, Rizalman mahu membawa masyarakat untuk merenung sejenak bagaimana dalam sebuah perhubungan, menzahirkan kasih sayang adalah tunjang kepada kehidupan yang sempurna.
Dalam masa sama, citra Melayu menjadi teras pada pementasan Kesuma Jiwa yang merangkumi pemilihan lagu, rentak tarian dan penggayaan kostum.
Dua elemen itu menjadikan Kesuma Jiwa sebuah pementasan yang mencapai objektif dan aspirasi pereka kelahiran Pulau Pinang itu.
"Jika dilihat pada istilah kesuma itu sendiri merujuk kepada bunga, dikaitkan juga sebagai perempuan yang cantik, jadi apa yang ingin saya tonjolkan pada pementasan ini ialah betapa cantiknya bangsa Melayu kita," kata Rizalman, 49, mengulas maksud di sebalik Kesuma Jiwa.
Pada usia yang bakal mencecah separuh abad menjelang 2021, gejolak jiwa Rizalman tidak mampu untuk menyekatnya daripada berbicara mengenai peri penting penyatuan masyarakat.
Benar, barangkali, akan ada yang mempersoal apa kaitan tokoh penting dalam industri fesyen dengan hubungan masyarakat?
Biarlah persoalan sedemikian atau persepsi kurang enak didebatkan, kerana apa yang paling utama buat Rizalman ialah merintis usaha mewujudkan keharmonian dalam tamadun bangsanya.
Dan, pentas seni menjadi pilihan Rizalman dalam menyebar luaskan mesej mengenai silaturahim itu kerana itulah platform paling mudah untuk menarik perhatian orang ramai.
"Kesuma Jiwa diharapkan dapat menyedarkan masyarakat bagaimana seni itu boleh menyatukan masyarakat,' katanya
Bapa kepada dua cahaya mata itu juga mahu masyarakat menyedari bagaimana keharmonian hidup itu boleh dibangunkan dari aspek seni mencakupi pakaian, muzik dan seni tari.
Lebih indah dan manis lagi, pementasan Kesuma Jiwa juga sebagai meraikan hubungan persahabatan Rizalman dengan penyanyi kesayangan ramai, Dayang Nurfaizah.
Dua dekad, Rizalman dan Dayang bersahabat. Antara mereka, sudah saling memahami kehendak masing-masing terutama bila membicarakan soal selera fesyen.
"Terima kasih buat Dayang Nurfaizah yang sentiasa tidak pernah jemu menyokong kerjaya saya. Sudah 20 tahun kami berkawan dan saya mahu abadikan Kesuma Jiwa sebagai momen paling indah untuk beliau kenang dalam kerjaya seninya," kata Rizalman yang secara terbuka mengakui Dayang Nurfaizah penyanyi pujaannya itu.
Selain peragaan fesyen koleksi terbaharu Rizalman, pementasan Kesuma Jiwa turut menampilkan persembahan lagu-lagu Melayu klasik oleh Dayang Nurfaizah.
Pada pementasan itu, Dayang Nurfaizah memberi justifikasi pada lagu-lagu Melayu klasik dengan menampilkan nafas baharu (tanpa mengabaikan melodi asal).
Lagu-lagu seperti Tari Tualang Tiga, Mengapa Dirindu, Hati Ke Hati, Itulah Sayang, Laksamana Raja Di Laut (sekadar menyebut beberapa nama) dialunkan dengan penuh tertib oleh Dayang Nurfaizah.
Penyanyi itu benar-benar menghormati akar budaya Melayu sekalipun selama ini dia sangat sinonim dengan genre muzik pop.
Sudah sampai masanya untuk Dayang Nurfaizah memikirkan idea menghasilkan sebuh album Melayu asli.
Dayang Nurfaizah juga dibantu oleh rakan duetnya, Hael Husaini serta Rizalman sendiri yang membuat kejutan menyanyi bersama.
Pementasan Kesuma Jiwa tampak sempurna dan menyerlah dengan muzik iringan di bawah kendalian Ahmad Muriz Che Rose serta kemunculan istimewa kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Syafinaz Selamat.
Kesuma Jiwa yang menjadi buah tangan terakhir Rizalman sebagai penutup kerjayanya sebagai pereka fesyen akan dikenang sebagai antara produk yang membanggakan pada 2020.
Barangkali, Rizalman sendiri sudah menarik nafas lega kerana penutup kerjayanya itu berakhir dengan pementasan yang sangat manis.
Kesuma Jiwa adalah citra agung buat pencetusnya.
BACA: "Saya takut tidak bersedia bila dijemput oleh Allah" - Rizalman umum bersara sebagai pereka fesyen
#citra cinta #Dayang Nurfaizah #Kesuma Jiwa #penyatuan silaturahim #pereka fesyen #Rizalman Ibrahim
;