Kesihatan mental: Pekerja tertekan jejaskan produktiviti organisasi

Nursyazwani Saiful Sham
Januari 22, 2021 13:26 MYT
Wilson turut berharap agar majikan dapat memainkan peranan sebaiknya dalam memastikan kesihatan mental pekerja terjamin terutamanya golongan wanita. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Isu kesihatan mental di tempat kerja tidak seharusnya dipandang ringan, tegas Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Ini kerana jelasnya, kesihatan mental yang terjejas dalam kalangan pekerja bakal memberi impak kepada produktiviti sesebuah organisasi.
“Isu kesihatan mental di tempat kerja seharusnya tidak dipandang ringan oleh mana-mana organisasi atau majikan. Ini adalah isu normal tetapi beri impak besar terhadap produktiviti organisasi.
“Malah laporan statistik penyakit mental sangat membimbangkan, dan jumlahnya terus meningkat dengan setiap tahun.
“Jadi saya menyeru kepada semua majikan perlu menyediakan langkah berkesan untuk menanganinya kerana kalau gagal ia akan merugikan orgnanisasi. Masalah kesihatan mental ini ibarat pembunuh senyap kepada tenaga kerja yang berkualiti,” beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Era pandemik | Penyelesaian tangani tekanan bekerja dari rumah (WFH)
Dalam pada itu, Wilson turut berharap agar majikan dapat memainkan peranan sebaiknya dalam memastikan kesihatan mental pekerja terjamin terutamanya golongan wanita.
BACA: COVID-19: Tahap keresahan, tekanan rakyat Malaysia paling tinggi - Ipsos
Ia selepas tinjauan firma penyelidikan pasaran dan perundingan antarabangsa, Ipsos, mendapati wanita di bawah umur 35 tahun dan golongan berpendapatan rendah pula lebih cenderung untuk berasa resah dan tertekan berhubung situasi pekerjaan.
Manakala tahap keresahan dan stres dalam kalangan rakyat Malaysia tatkala berdepan dengan pandemik COVID-19 adalah paling tinggi dalam segala aspek berbanding 27 negara yang lain.
Keresahan tersebut tercetus ekoran perubahan rutin selain tekanan keluarga.
Kajian Ipsos: Menangani tahap keresahan rakyat Malaysia
#COVID-19 #keselamatan #Datuk Wilson Ugak Kumbong #NIOSH #Pekerja #majikan #organisasi
;