Kesedaran semakin tinggi terhadap kebaikan susu ibu

Bernama
September 1, 2018 14:06 MYT
Susu ibu adalah yang terbaik untuk pertumbuhan dan kesihatan bayi. - Gambar hiasan
Masyarakat kini semakin bersikap terbuka dan mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kebaikan susu ibu dan memberi galakan bagi golongan ibu yang bersedia melaksanakan tanggungjawab itu.
Pengerusi Inisiatif Hospital Rakan Bayi Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Noraida Ramli berkata susu ibu adalah satu langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat kerana ia bersih, seimbang dan paling sesuai untuk bayi.
"Di HUSM, sebelum seseorang wanita yang ingin menjadi ibu susuan kepada bayi pramatang yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU), mereka perlu melakukan beberapa prosedur termasuk mengadakan pemeriksaan kesihatan untuk mengelakkan penyakit berjangkit kepada bayi yang disusukan," katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2018 Peringkat USM di Mini Stadium Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian di sini hari ini.
Majlis penutupan program tersebut dirasmikan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim.
Dr Noraida berkata jika keputusan pemeriksaan kesihatan yang diadakan tiada masalah, prosedur akan diteruskan dengan rawatan hormon dan salinan dokumen pengenalan diri akan diberikan kepada dua belah pihak iaitu ibu susuan dan keluarga bayi.
"Salinan dokumen ini sangat penting untuk menjaga nasab keturunan bayi berkenaan, sekurang-kurangnya bayi berkenaan akan mengetahui butiran ibu susuannya nanti.
"Berbeza jika di luar negara, susu ibu yang didermakan akan dicampurkan dan diletakkan di tempat yang khas, sebelum diberi kepada bayi yang memerlukan, dimana proses ini akan mendatangkan keraguan dan kekeliruan mengenai nasab keturunan bayi berkenaan," katanya.
Seorang ibu susuan, Siti Nur Amalina Mohd Nasri, 23, yang menyusukan bayi kembar pramatang di NICU HUSM berkata, beliau mula memberi susu kepada bayi berkenaan sejak bayi itu berumur 1 bulan dan kini sudah memasuki 2 bulan.
"Kebetulan anak saya yang lahir pramatang turut dirawat di NICU, jadi saya dengan sukarela memberi susu saya kepada pasangan kembar atas permintaan ibu bayi berkenaan kerana susunya tiada," katanya.
Beliau berkata hampir 900 mililiter(ml) susu dapat dibekalkannya kepada anak susuan itu setiap hari.
-- BERNAMA
#bayi #kesihatan #kesihatan bayi #penjagaan #pertumbuhan #rawatan #susu formula #susu ibu
;