Kes jangkitan influenza babitkan kanak-kanak tinggi pada hujung dan awal tahun

Hafizi Rosli
Disember 24, 2020 12:33 MYT
Jangkitan influenza ini boleh membawa kemudaratan kepada kanak-kanak iaitu berisiko terkena sawan demam, komplikasi paru-paru malah kegagalan organ - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ibu bapa harus mengambil maklum mengenai kesihatan anak-anak terutama ketika hujung tahun dan awal tahun hadapan bagi menghadapi risiko jangkitan influenza yang didorong oleh cuaca tidak tidak menentu.
Menurut Pakar Pediatrik Jesselton Medical Centre Kota Kinabalu, Dr Mohd Iqbal Iyen, jangkitan influenza ini boleh membawa kemudaratan kepada kanak-kanak, iaitu berisiko terkena sawan demam, komplikasi paru-paru malah kegagalan organ.
"Di negara kita setiap tahun bulan Disember, Januari dan Februari statistik memang tinggi disebabkan faktor musim tengkujuh, musim cuti sekolah dan perayaan.
"Komplikasinya, anak anda boleh kena sawan demam iaitu babitkan umur 3 bulan hingga enam tahun, komplikasi pada paru-paru yang jejaskan pernafasan. Dapatan juga menunjukkan 2 peratus kanak-kanak hadapi kagagalan fungsi organ," kata Dr Mohd Iqbal ketika ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.
Beliau yang juga panel di Dr.Budak.com turut memaklumkan, penting untuk ibu bapa mengetahui simptom yang membezakan antara jangkitan influenza, demam biasa atau dijangkiti COVID-19.
Semakan suhu menjadi faktor utama untuk menentukan ia dikategorikan sebagai demam jenis apa.
"Simptom influenza ini dia akan demam dalam suhu tinggi (39 darjah Celsius atau lebih) dan dalam keadaan rapat dan kerap (suhu tinggi dicatatkan berselang 2 jam berbanding demam biasa, 38 darjah Celsius)," ujarnya.
Bagi demam biasa, ia akan berlarutan sehingga empat hari dan pulih serta suhunya pula adalah rendah iaitu di bawah 38 darjah Celsius.
Kanak-kanak pula masih lagi boleh aktif seperti mampu makan dan minum.
Namun, untuk mengenal pasti ia adalah demam disebabkan jangkitan COVID-19, berikut adalah perincian yang diberikan:
"80 peratus pesakit COVID-19 tidak mempunyai simptom, dan simptom bermula pada hari pertama hingga keempat dan disusuli dengan demam, batuk, selesema dan muntah dengan ciri dominan hilang deria rasa dan bau.
"Namun secara kasarnya, pesakit kanak-kanak yang positif COVID-19 akan mampu pulih dengan syarat dapatkan rawatan di hospital. Ada juga kes kematian melibatkan kanak-kanak, dan itu adalah kes terpencil," katanya.
Jelasnya dengan mengenal pasti jenis-jenis demam ini, ibu bapa boleh memikirkan apakah langkah susulan yang perlu diambil.
AWANI Pagi: Perbezaan demam biasa, Influenza dan COVID-19
#COVID-19 #demam #Influenza #Kanak-kanak #tengkujuh #hujan #Kes
;