Kes bunuh kerani: Pengguna FB kongsi 6 langkah keselamatan
Madiha Abdullah
November 18, 2015 09:16 MYT
November 18, 2015 09:16 MYT
SUSULAN kejadian seorang kerani wanita muda yang dipercayai dirogol dan dibunuh di Muar, Johor, pada Isnin, seorang pengguna Facebook berkongsi beberapa tips keselamatan untuk golongan wanita.
Cik Puan Nurul dalam satu status yang dimuat naik pada Selasa, menyenaraikan enam perkara yang sering dilakukan di laman sosial. Tanpa disedari, perkara-perkara inilah yang mendedahkan mereka, khususnya wanita, kepada risiko dan bahaya.
Antara yang disenaraikan Nurul adalah tabiat gemar selfie dan check-in di lokasi. Kata Nurul, selfie, walaupun pada dasarnya hanya perkara biasa, namun ia boleh mendorong kepada berlakunya perkara tidak baik.
Begitu juga tabiat check-in di sesuatu tempat boleh mengundang bahaya terutama apabila setting status itu diletakkan sebagai public atau umum.
Nurul juga berpesan agar wanita, terutama sekali yang tinggal berseorangan berhati-hati apabila memuat naik status. Terlalu berterus-terang dalam menulis status boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri.
Status Nurul itu menerima lebih 18 ribu perkongsian setakat ini.