Kerjasama kawal populasi kucing terbiar - Khalid

Bernama
Mac 12, 2017 16:50 MYT
Presiden Kelab Kucing Malaysia Khalid Rashid berkata kerjasama tersebut penting berikutan kos kembiri kucing yang agak mahal ketika ini sehingga mencecah ratusan ringgit. - Gambar fail
Usaha mengawal populasi kucing 'gelandangan' atau terbiar seperti melalui proses kembiri perlu mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.
Presiden Kelab Kucing Malaysia Khalid Rashid berkata kerjasama tersebut penting berikutan kos kembiri kucing yang agak mahal ketika ini sehingga mencecah ratusan ringgit.
"Kesedaran masyarakat terhadap kebajikan kucing di negara ini kian meningkat dan ramai yang peka pada kebajikan kucing. Cuma kebanyakan mereka tidak mampu menghantar kucing untuk dikembirikan kerana kosnya yang agak mahal sehingga melebihi RM100.
"Kita harap perkara ini mendapat perhatian semua sama ada menyediakan kemudahan kembiri yang lebih murah bagi menggalakkan orang ramai menjaga kebajikan haiwan itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Program Fiesta Kucing 3.0 di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini, pada Sabtu.
Program dengan kerjasama Majlis Perwakilan Desa Siswa Nurani itu menghimpunkan lebih 100 pencinta kucing di seluruh negara selain memungut sumbangan untuk diserahkan kepada Tahfiz Anak Yatim Darul Qautsar.
Khalid berkata Jabatan Veterinar dan pihak yang berkaitan dengan kesihatan haiwan mungkin boleh membuat kajian alternatif yang lebih murah untuk proses kembiri.
Beliau yang turut memelihara lebih 30 ekor kucing itu berkata populasi kucing terbiar yang semakin meningkat boleh menjejaskan kebersihan persekitaran.
Selain itu, katanya masyarakat yang tidak dapat mengawal pembiakan kucing juga dinasihatkan agar tidak membuang kucing di merata tempat terutama di pasar demi kebajikan kucing dan kesejahteraan bersama.
Dalam pada itu, seorang pencinta kucing, Nor Haida Zahari, 38, berkata beliau telah memungut kucing jalanan sejak lebih 20 tahun lalu dan kini memiliki hampir 40 ekor kucing.
"Kebanyakan kucing yang dipelihara saya pungut di pasar. Ada yang cacat selain menghidapi masalah kulit. Saya rasa puas apabila melihat kucing terbiar itu sihat dan cantik selepas beberapa bulan dijaga," kata pengusaha dobi itu.
Beliau yang menetap di jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu berkata kehadiran kucing-kucing itu menceriakan dan melengkapkan hidupnya setelah kedua orang tuanya meninggal dunia. -- Bernama
#kucing #kucing gelandangan #Kucing terbiar
;