Kerjasama DBKL dan Lost Food Project untuk kurangkan sisa makanan

Bernama
Mei 3, 2017 23:32 MYT
Zaharudin Basiron (tiga, kiri) menyerahkan bakul berisi sayur-sayuran kepada Pengasas The Lost Food Project (TLFP) Suzanne Mooney (empat, kanan) pada Majlis Pelancaran Koloberasi TLFP, DBKL dan Pasar Borong Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Bernama
The Lost Food Project (TLFP) bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengurangkan sisa makanan dengan mengumpulkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak habis dijual di Pasar Borong KL dan mengagihkannya kepada mereka yang memerlukan.
Pengasas projek itu Suzanne Mooney berkata semasa projek perintis dilaksanakan dalam tiga minggu lepas, mereka mengumpulkan lebih dua tan buah-buahan dan sayur-sayuran segar daripada peniaga.
Makanan yang berkhasiat ini diagihkan kepada badan-badan kebajikan di sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata adalah mengecewakan melihat makanan yang masih boleh dimakan dibuang, sedangkan ia boleh memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.
Dengan kerjasama ini, DBKL akan menyediakan parkir percuma di dalam kawasan Pasar Borong untuk trak TLFP beroperasi dan mengumpulkan kesemua buah-buahan dan sayur-sayuran daripada peniaga tiga kali seminggu.
"Kerjasama seperti ini bukan sahaja menolong mereka yang betul-betul memerlukan makanan tetapi juga membantu mengurang sisa alam sekitar.
Mendermakan lebihan makanan di akhir waktu berniaga daripada membuangnya memberikan penjimatan besar dari segi kos pelupusan," kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran projek itu di Pasar Borong KL di sini pada Rabu.
Turut hadir Pengarah Pelesenan dan Pengurusan Penjaja DBKL, Zaharuddin Basiron.
Menurut Zaharuddin, DBKL menyokong sepenuhnya projek ini yang merupakan satu peluang untuk membantu golongan masyarakat yang kurang bernasib baik di samping memelihara alam sekitar dengan mengurangkan pembuangan sisa makanan.
Beliau berkata dengan mengurangkan sisa makanan , kerajaan boleh menjimatkan perbelanjaan dan membantu membasmi kemiskinan.
Pada majlis itu chef terkenal, Chef Wan dilantik sebagai duta kepada TLFP.
--BERNAMA
#DBKL #Kuala Lumpur #peniaga #sisa makanan