Keris Tok Chu tarikan Festival Keris dan Warisan Kelantan

Bernama
Julai 14, 2024 07:15 MYT
Festival Keris dan Warisan Kelantan berlangsung di Istana Balai Besar di Kota Bharu bermula 14 Julai hingga 31 Julai. - Foto Kelantan State - Tourism
KOTA BHARU: Keris Tok Chu iaitu keris warisan asli Kelantan yang mencecah usia 200 tahun antara tarikan kepada pengunjung Festival Keris dan Warisan Kelantan bermula semalam hingga 31 Julai depan.
Penasihat Persatuan Seni Purba dan Kraftangan Kelantan Mohd Noordin Abdul Hamid berkata pada pameran itu sebanyak 300 keris turut dipamerkan antaranya keris kusriwa, keris tajong, keris pandai saras, keris malela, keris Bugis, keris beko dan keris Pattani.
"Keris Tok Chu ini dikatakan amat tajam dan sekiranya ditikam pada tempayan ia akan tembus tetapi tidak pecah. Hulu dan sarung keris ini dibuat daripada gigi paus dan kayu kemuning," katanya kepada pemberita di Istana Balai Besar di sini semalam.
Mohd Noordin berkata festival kali ini turut mempamerkan tiga keris koleksi peribadi Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra iaitu keris sepokal berwifik, keris tajong bertatah emas dan keris panjang.
"Bagi pengumpul keris, pameran sebegini adalah inisiatif terbaik dalam usaha memperkenalkan keunikan seni warisan turun-temurun negeri ini yang masih dipelihara terutamanya oleh Institusi Kesultanan Kelantan.
"Menerusi pameran ini juga, pengunjung boleh membeli keris pada harga bermula RM4,000 hingga mencecah ratusan ribu ringgit," katanya yang turut mempunyai 200 lebih koleksi keris.
Seorang pengumpul dan peniaga keris, Habid Abdul Rahman dari Pattani, Thailand berkata dia membawa 50 keris jenis keris tajong, keris Bugis, keris Pattani dan keris cotek untuk dipamer dan dijual.
Habid berkata peluang dijemput menyertai pameran di Istana Balai Besar itu dianggap sebagai satu penghormatan kerana dapat bertukar-tukar pandangan dengan pengumpul keris yang lain.
-- BERNAMA
#keris tok chu #Festival Keris dan Warisan Kelantan #Persatuan Seni Purba dan Kraftangan Kelantan #Kelantan