Keretapi Sarong 2023: Pasangan Baba dan Nyonya teruja kongsi budaya Peranakan

Bernama
September 16, 2023 21:37 MYT
Lai Joo Lian (kiri) dan suaminya, John Roland Goh (kanan) dan ibunya Song Yoke Lan bergambar di rumah mereka di Taman Suria, Cheras sebelum menghadiri Program Keretapi Sarong sempena Hari Malaysia 2023 hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Seawal 6 pagi, Lai Joo Lian, 70, dan suaminya John Roland Goh, 71, sudah mula berdandan serta melakukan persiapan bagi menyertai program Keretapi Sarong 2023 (KS2023) yang berlangsung hari ini.
Mengenakan busana tradisional Peranakan Baba dan Nyonya iaitu kebaya pendek dan kain sarung serta baju batik Malaysia, riak wajah pasangan suami isteri itu kelihatan begitu teruja kerana ini merupakan kali pertama mereka menyertai program tersebut.
Lai, yang lebih mesra disapa Aunty Joo, berkata KS2023 telah membawa beliau mengimbau nostalgia saat remajanya selain berpeluang melihat pelbagai jenis dan corak pakaian generasi muda hari ini.
"Program ini turut memberi peluang kepada saya untuk bercerita kepada generasi muda tentang pakaian masyarakat Peranakan. Saya gembira ramai anak muda yang ingin tahu keunikan masyarakat Baba dan Nyonya," kata Aunty Joo yang merupakan generasi ketiga kaum Peranakan.
Kebaya pendek dan kain sarung adalah busana tradisional kaum Peranakan Cina Baba dan Nyonya yang dipakai setiap hari.
Pakaian itu dipadankan dengan aksesori batu berlian, kasut sulaman manik dan paling unik, kipas tangan bercorak batik yang boleh dijadikan topi.
Bagi suami Aunty Joo, Roland, program KS2023 adalah platform yang menyatupadukan bangsa di Malaysia melalui busana tradisional etnik masing-masing.
"Tidak kira tua atau muda, hari ini semua bangsa berkumpul dan mempamerkan keindahan budaya serta keunikan patriotisme yang hanya terdapat di Malaysia.
"Kami pernah tinggal di Scotland hampir 10 tahun tetapi bak kata pepatah 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri' lebih baik di negeri sendiri. Ungkapan itu amat tepat, kami tidak dapat rasa perasaan ini di negara lain. Saya bangga jadi rakyat Malaysia," katanya.
Lebih 10,000 peserta pelbagai kaum dan usia menyertai program Keretapi Sarong 2023 yang bertujuan menyemai semangat cintakan negara sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
-- BERNAMA / Amirul Mohd Sajadi
#keretapi sarong #baba nyonya #peranakan #busana tradisional #kebaya #batik
;