Kereta sebagai aksesori telefon anda
AFP RELAXNEWS
Mac 1, 2013 10:54 MYT
Mac 1, 2013 10:54 MYT
Pameran terbesar automobil sedunia telah memperkenalkan satu teknologi baru yang menjadikan kereta sebagai aksesori telefon pintar.
Teknologi baru di dalam industry permotoran itu membenarkan pemandu menggunakan aplikasi canggih tanpa perlu memberhentikan kereta.
Teknologi baru itu dipanggil MirrorLink dan telah digunapakai oleh 85 pengeluar kereta seperti Ford, General Motors, Chrysler, Nissan, Honda, Hyundai, BMW, VW, Fiat dan Renault.
MirrorLink menghubungkan telefon pintar dan sistem kereta dengan audio dua hala, video dan pautan data.
“Orang ramai menghabiskan 80 peratus masa pada aplikasi dan servis telefon pintar. 20 peratus lagi tidak digunakan iaitu ketika mereka berada di dalam kereta” kata Jorg Brakensiek, penyelaras teknikal untuk forum Car Connectivity.
“Tak ada mekanisme yang selamat untuk pemandu berbuat demikian” katanya lagi kepada pemberita di Mobile World Congress, Sepanyol, Barcelona.
MirrorLink memerlukan sistem kereta yang sesuai dan telefon pintar dengan perisian yang boleh dimuat turun.
Pemandu kemudian boleh mengakses aplikasi kegemaran mereka.
Aplikasi mesti mematuhi undang-undang yang ditetapkan contohnya untuk skrin , saiz huruf dan nombor yang digunakan perlu mengikut saiz tertentu dan beberapa fungsi seperti menaip mesti dimatikan semasa kereta sedang bergerak.
“Secara mudahnya, telefon pintar akan datang dengan aplikasi dan kereta digunakan sebagai aksesori” kata Brakensiek lagi.
Teknologi MirrorLink akan menggunakan data dari kereta ke telefon pintar, seperti kelajuan, lokasi dan cuaca.
Informasi tersebut akan digunakan untuk mengembangkan aplikasi baru atau memperbaiki perkhidmatan lain, seperti berita trafik.
Forum Car Connectivity telah membangunkan teknologi ini sejak dua tahun yang lalu.
MirrorLink yang pertama telah dilancarkan oleh Sony dan JVC untuk pemasangan ke dalam kereta sedia ada.
Langkah seterusnya adalah pengeluar membina teknologi ini terus kepada kereta sebelum dijual.
Teknologi baru ini dapat mengelakkan masalah yang dialami oleh kereta ‘smart’ sebelum ini, yang mana pengeluar kereta telah menanam Kad SIM di dalam kereta untuk servis pemanduan seperti pandu arah, kecemasan, dan hiburan.
Satu keburukannya ialah, Kad SIM yang telah ada di dalam kereta ini menyebabkan pemandu terikat dengan satu pengendalian sahaja.