Kerap peluk anak jika mahukan dia sihat, kuat dan bijak
Pa and Ma
September 30, 2021 10:28 MYT
September 30, 2021 10:28 MYT
KANAK-kanak mana yang tidak mudah menangis, buat perangai dan ada kala memeningkan kepala ibu dah bapa.
Menangis ibarat meluahkan emosi mereka kepada ibu dan bapa. Namun peluklah anak kerana itulah kuasa meredakan hati anak yang gundah.
Pelukan ini besar kuasanya jika ibu bapa pandai menggunakannya di waktu-waktu tertentu.
Malah pelukan juga membuat anak menjadi lebih baik. Perkongsian Mohd Fhais Salim ini banyak manfaatnya untuk kita.
Tidak ada anak yang tidak suka dipeluk.
Bahkan banyak kajian telah dibuat berkaitan kuasa peluk (hug power) ini. Anak yang kerap dipeluk akan lebih sihat dan cantik tumbesaran fizikal, mental dan emosinya.
Ini antara manfaat kita kerap peluk anak :
1. Anak makin bijak
Anak yang dipeluk sekurangnya 20 minit sehari akan menghasilkan 'brain growth hormone' dengan banyak. Makin berkembang pesat otaknya nanti.
2. Lima deria makin berkembang
Antara lima deria utama iaitu sentuh, dengar, lihat, rasa dan bau, deria sentuh adalah kunci kepada segala-galanya. Dari sentuhan, empat deria lain boleh berkembang pesat.
3. Fizikal, mental dan emosi lebih sihat
Tahu tidak setiap pelukan ibu bapa itu dapat buat hormon oxytocin menjadi banyak. Anak akan rasa bahagia, selamat dan tenang serentak. Baru la kurang anak mengamuk-ngamuk nanti.
4. Badan menjadi semakin tinggi, kuat dan sihat
Hah! Kalau mahukan anak tinggi, kuat dan sihat, peluk dia selalu. Ini kerana oxytocin juga membantu perkembangan fizikal anak kita. Bergantung kepada genetik ibu bapa juga ya.
5. Boleh tenangkan anak yang 'tantrum'
Kalau anak 'tantrum' teruk sangat, peluk dia. Emosi anak yang bergelora tadi boleh menjadi tenang dengan cepat. Syaratnya, yang mahu memeluk itu perlu menjadi dahulu. Emosi boleh berjangkit tau!
Apabila kita tenang, barulah anak akan tenang.
6. Anak lebih tahan lasak
Ini sahih, anak yang kerap dipeluk lebih tahan lasak dengan masalah dan cabaran berbanding yang jarang dipeluk. Mereka tidak cepat tertekan dan susah mengalami kemurungan.
7. Silaturrahim anak-beranak kuat
Manfaat sebenarnya adalah apabila silaturrahim kita anak-beranak kuat dan utuh. Masa ini datanglah cabaran dan dugaan besar mana pun, kita tidak akan gentar.
Sentiasa percaya dan sayang antara satu sama lain. Susah untuk buruk sangka dan tidak ada yang dapat meracuni fikiran kita untuk ragu-ragu dengan kemampuan anak sendiri.
Kita harus usaha untuk peluk anak sekurangnya 20 saat sehari. Itulah paling kurang jika kita mahu anak sihat, kuat dan bijak.
Wallahu A’lam,
~ Mohd Fhais Salim
* Artikel asal disiarkan di Pa&Ma.