Kerana kemarahan Gunung Agung

Dr Azlinariah Abdullah
Disember 9, 2017 06:13 MYT
Letusan Gunung Agung sebabkan banyak penerbangan ke Bali dibatalkan. - Foto AP
Saya tidak pernah tidak sukakan Bali, Indonesia.
Bali eksotik, kata seorang teman, penggembara tegar, sudah lebih 20 kali lawat kawasan pelancongan popular di Indonesia itu.
“Orang melawat Bali kerana tiga perkara - alam semulajadi, budaya dan santai selain makanan,’’ menurut antara reviu yang dipaparkan di laman-laman kembara dengan mudah boleh dibaca ramai.
Lalu saya, bergerak daripada kata-kata teman penggembara tegar dan reviu positif itu, merencana ke pulau peranginan Indonesia itu untuk percutian keluarga pada hujung tahun.
Ia tidak mengambil kira satu lagi sisi menarik di Bali - Gunung Agung.
Maka apabila, Gunung Agung marah-marah, tumpahkan debu dan batu-batan minggu lalu, semestinya ada rencam perasaan tetapi tidak kurang pengalaman yang mahal kerana menjadi sebahagian kecil rakaman peristiwa itu.
Sebelum berangkat ke Bali, sudah empat hari Gunung Agung lepaskan debu di awan, tingginya cukup untuk menakutkan pesawat bersaing dan beriringan di radar itu.
Tekanan pula bukan kecil memenuhi atmosfera pemikiran bagi membuat percaturan antara nyawa dan material yang tidak kecil dilabur untuk ke Bali.
“Nyawa tiada galang ganti, denyut lima orang lagi,’’ kata salah seorang ahli keluarga saya, sebelum mengusulkan kemudiannya, batalkan sahaja percutian 5 hari 4 malam di Bali.
Setiap hari, bermula 26 Nov lalu - semasa hari pertama laporan letusan Gunung Agung, laman web penerbangan, berita stesen dalam dan luar negara saya ikuti dengan tekun, harap-harap tidak tertinggal apa-apa.
Sehingga tarikh penerbangan, darjah kecemasan saya semakin tinggi apabila kesemua pesawat masih dibatalkan kerana letusan yang disebarkan Gunung Agung kekal bahaya.
Mujur - Alhamdulillah sebenarnya, pada lewat petang 29 Nov, CNN laporkan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai mula dibuka semula.
Penerbangan awal pagi 30 Nov - tarikh yang saya dan keluarga sepatutnya terbang, dibatalkan. Mujur - Alhamdulillah lagi sebenarnya, penerbangan kedua yang dinaiki kami berlima pada hari tersebut terbang tanpa ada masalah.
Menariknya, di dalam pesawat, hampir tiada penumpang, barangkali kerana tidak mahu ambil risiko. Ini mungkin kerana pada hemat mereka, kalau lepas pergi, balik belum tentu.
Tiba di Bali, memang benar, pulau itu seperti dikatakan teman penggembara tegar saya, juga tidak salah rebiu-rebiu kembara yang mudah dijumpai di atas talian.
Sehingga pada satu tahap, tekanan memikirkan kemarahan Gunung Agung itu hilang ditelan bersama-sama awan yang dilepaskan gunung berapi terbabit. Untuk rekod, jarak Gunung Agung dan tempat saya menginap ialah kira-kira 45 kilometer. Dari luar jendela, kalau tidak dilindungi awan, saya dapat melihat dengan jelas, gerakan debu-debu dikeluarkan Gunung Agung.
Sungguh, di Bali, kesan akibat letusan Gunung Agung hampir tiada. Yang ada cuma keluhan orang-orang di situ yang sedikit kesal banyak tempahan dibatalkan. Tempahan batal bermakna, tiada rezeki untuk mereka.
Ini diburukkan dengan kiriman video tular palsu bahawa Gunung Agung mengeluarkan letusan bahaya sehingga makin menjauhkan pelancong ke Bali.
Aktiviti dekat dengan alam semula jadi juga tiada apa-apa masalah setiba di Bali. Begitu juga aktiviti air dan penerokaan kekayaan khazanah makanan serta hidangannya.
Yang saya dapat menyaksikan adalah kesan positif kemarahan yang dimuntahkan Gunung Agung. Bahawa, di tempat sekitar Gunung Agung, tanahnya subur, bumi hasil padi sangat kuning menjadi, memberi rezeki kepada para petaninya.
Landskap di Kintamani, dalam kawasan daerah Ubud misalnya, hijau subur kerana lahar daripada gunung berapi. Ia juga menjadi kawah untuk menukar pula lokasi itu jadi tumpuan pelancong.
Bukan sahaja Gunung Agung, tetapi gunung berapi lain di Indonesia - Gunung Batur dan Gunung Abang, kesemuanya walaupun marah sehingga mengeluarkan lahar, ia tetap memberi rezeki kepada penduduk setempat.
Selepas 5 hari di Bali, saya pulang ke tanah air dengan satu kesedaran. Bahawa tidak semua marah Gunung Agung itu tidak berbaloi. Sama seperti kita minta panas ketika datangnya hujan, rupanya Allah mahu kita melihat cantiknya pelangi.
Begitu juga semua tekanan sebelum berangkat dan kelegaan sesudah sampai di Bali, semuanya adalah kerana kemarahan Gunung Agung.
#Bali #Gunung Agung #gunung berapi #Indonesia #Kintamani #letusan #pelancongan #pengalaman #pesawat batal
;