Kenderaan istiadat zaman Empayar Rom ditemukan dekat kota Pompeii

Agensi
Mac 13, 2021 15:59 MYT
Kereta roda empat itu ditemukan dalam keadaan diawet dan ia diperbuat daripada besi, gangsa serta timah. - Foto AP
SEBUAH kenderaan dipercayai untuk kegunaan istiadat pada era Empayar Rom kuno ditemukan di sebuah vila berdekatan kota Pompeii, yang tertimbus dalam letusan gunung berapi pada tahun 79 Masihi.
Ahli-ahli arkeologi Itali mendakwa kereta roda empat itu ditemukan dalam keadaan diawet dan ia diperbuat daripada besi, gangsa serta timah.
Memetik media antarabangsa, kenderaan itu berada berdekatan dengan kandang kuda di vila berkenaan, iaitu kira-kira 700 meter dari utara tembok Pompeii kuno.
Pengarah laman web arkeologi Pompeii Massimo Osanna berkata ia merupakan kenderaan pertama yang seumpama itu ditemukan di kawasan berkenaan – yang mana kebanyakan bukan untuk upacara, sebaliknya digunakan untuk pengangkutan dan kerja.
"Ini adalah penemuan luar biasa yang meningkatkan pemahaman kita tentang zaman kuno.
"Apa yang kita miliki adalah kereta istiadat, mungkin Pilentum yang disebut oleh beberapa sumber. Ia bukan untuk kegunaan harian atau pengangkutan pertanian, tetapi untuk mengiringi perayaan masyarakat perbarisan dan istiadat,” jelasnya.
Letusan gunung berapi Vesuvius sekitar tahun 79 Masihi lalu telah menghancurkan kota Pompeii dan mengorbankan antara 2,000 dan 15,000 orang.
Kenderaan tersebut didakwa tidak mengalami kerosakan akibat runtuhan bumbung dan dinding bangunan kota Pompeii.
Malah, ia terselamat daripada aktiviti rompakan oleh pencuri barangan antik, yang menggali terowong untuk ke kawasan tersebut.
Menurut seorang pegawai, vila berkenaan dibongkar oleh polis selepas menemukan terowong haram pada 2017, di mana dua individu yang menghuni vila berkenaan kini dibicarakan atas pertuduhan menggali terowong sepanjang 80 meter ke lokasi tersebut.
Pompeii yang terletak kira-kira 23 kilometer (km) di tenggara Napoli dihuni sekitar 13,000 penduduk sebelum ia lenyap dalam sekelip mata akibat letusan gunung berapi Vesuvius.
Kota itu dipercayai didirikan sekitar abad ke-6 oleh kaum Osci atau Oscan iaitu suatu kelompok masyarakat di tengah Itali.
Pompeii kemudian berkembang pesat dan maju dari segi pembangunan dan ketamadunan.
Bagaimanapun, kota yang didakwa menjadi ‘pusat pelacuran’ itu hilang ditelan bumi.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Kota Pompeii #Empayar Rom Kuno #Pompeii kota pelacuran #Kota Pompeii musnah letusan gunung berapi #Barangan purba #Kisah Kota Pompeii #santai hujung minggu
;